Iqram Dinzly (kanan) didakwa berlakon keterlaluan ketika babak dalam drama Hati Yang Dikhianati.

KUALA LUMPUR – Pelakon Mona Allen meluahkan rasa marah apabila dicekik terlalu kuat oleh rakan gandingannya, Iqram Dinzly gara-gara melakonkan satu babak aksi.

Menerusi Instagram miliknya, Mona memberitahu Iqram tetap mengulangi perbuatannya itu walaupun sudah beberapa kali ditegur.

“Bila orang suruh berlakon, berlakon je lah. Tak payah buat betul-betul.

“Method sangat. Lepas ini jangan harap nak ada babak bersama. Kau punya meroyan sama macam dalam live.

“Ingatkan dah tak psiko, rupanya memang sejak azali. Bukan sekali dua babak dia cekik saya. Setiap kali mesti sakit.

“Dah cakap elok-elok tak mahu dengar,” tulis Mona.

Sebelum itu, adegan Iqram mencekik Mona menerusi drama Hati Yang Dikhianati itu turut dikongsikan pelakon Mia Nasir menerusi Instagram.

Sementara itu, drama yang ditayangkan di saluran Astro Prima itu sudah mula menemui penonton sejak April tahun lalu. – MalaysiaGazete