ismail sabri
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi fokus dalam memberi wajah baharu kepada penjawat awam dan juga lanskap baharu dalam organisasi awam dalam usaha mengatasi kelemahan yang terdapat pada sistem penyampaian.

Perdana Menteri, Datuk Seri ismail sabri Yaakob berkata, pembaharuan itu bertujuan menjadikan sistem penyampaian kerajaan lebih bersifat people-centric dan memudahcara urusan rakyat serta tidak lagi dibebani dengan karenah birokrasi.

“Sebagai contoh, antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan adalah meliputi kesegeraan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bantuan tunai, geran, pinjaman mudah dan sebagainya dengan mengurangkan karenah birokrasi.

“Kita dapat lihat, bagaimana bantuan wang ihsan (BWI) yang dapat disalurkan dalam tempoh yang paling cepat dalam sejarah bantuan banjir yang berlaku pada penghujung tahun 2021.

“Buat pertama kali, Kerajaan menyediakan tiga kaedah penyaluran kepada mangsa banjir, sama ada melalui penyerahan tunai di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), rumah ke rumah dan juga pembayaran atas talian,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) mengapa masih berlaku kelemahan di dalam sistem pelaksanaan dan penyampaian kerajaan dan langkah yang diambil untuk mengatasinya.

Menurut Ismail Sabri, langkah yang diambil oleh kerajaan dipacu oleh perkhidmatan awam yang cekap dan organisasi yang dinamik serta bersifat facilitative.

Malah tambah Perdana Menteri, beliau akan memastikan organisasi awam akan lebih efisien dan efektif dengan mempunyai saiz, struktur dan fungsi yang bersesuaian serta tiada pertindanan fungsi.

Jelasnya, kerajaan juga akan meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan proses rekayasa (business process re-engineering) bagi memastikan ia sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa serta mendatang.

Fungsi yang tidak lagi relevan perlu dijumudkan bagi membolehkan kita melaksanakan fungsi yang terkini dengan lebih berkesan, ujarnya.

Sementara itu, Ismail sabri berkata, sistem penyampaian perkhidmatan awam akan didorong oleh inisiatif baharu melalui penerapan lima nilai iaitu pantas, pengetahuan bertaraf dunia, memberi inspirasi, fleksibel dan berasaskan teknologi.

“Dalam memacu ekonomi digital Malaysia, Kerajaan sentiasa memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mendokong transformasi Malaysia menjadi peneraju ekonomi digital serantau agar dapat memupuk serta membina masyarakat yang lebih progresif,” katanya.

Tambah beliau, berikutan itu platform perkhidmatan yang kukuh, holistik dan kalis masa hadapan perlu disediakan. – MalaysiaGazette