Roger Ng. foto Bloomberg

MANHATTAN – Pendakwa raya mahu mengakhiri soal siasat mereka terhadap bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner pada hari ini dengan memintanya memberitahu juri bagaimana dia bertemu dengan Roger Ng dan isteri mereka pada 2016 bagi mengaitkan ‘cerita yang direka-reka’ untuk menyembunyikan penipuan dalam 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Leissner adalah saksi utama kerajaan terhadap bekas pegawainya, Roger Ng, yang dibicarakan dituduh bersubahat untuk merasuah pegawai-pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi ketika menerbitkan bon 1MDB.

Dalang utama yang terlibat dalam penipuan itu, Low Taek Jho (Jho Low) didakwa membayar Leissner lebih AS$60 juta sebagai sogokan, manakala Ng pula menerima AS$35 juta, menurut pendakwa raya.

Peguam Ng, Marc Agnifilo telah berhujah bahawa wang yang diterima Ng adalah pemindahan daripada akaun yang dikawal oleh bekas isteri Leissner, Judy Chan, kepada isteri anak guamnya, Ng Hwee Bin Lim untuk transaksi perniagaan berasingan yang sah antara kedua-dua isteri.

Pendakwa raya cuba memujuk hakim membenarkan keterangan walaupun kenyataan Lim berlaku selepas konspirasi itu berakhir.

Mereka adalah relevan dan boleh menyangkal dakwaan Agnifilo bahawa pemindahan dana berkenaan adalah sah, kata pendakwa raya.

Agnifilo berkata, Lim akan memberi keterangan mengenai transaksi itu yang menjadi sebahagian daripada pembelaan ke atas suaminya.

Mahkamah pada hari Isnin berkata, Leissner boleh menerangkan pertemuannya pada 2016 dengan bekas isterinya, Ng dan Lim selepas soalan dibangkitkan mengenai peranan yang dimainkan olehnya dalam skandal 1MDB melalui satu siri artikel berita yang diterbitkan.

Leissner boleh memberi keterangan bahawa selepas pasangan itu bertemu dengan “tuan feng shui” pada 2016, isteri Ng berkata “mereka perlu membuat cerita penutup untuk menjelaskan mengapa Chan telah menghantar wang” ke akaun yang dikawal olehnya, menurut pihak pendakwa raya.

Ng dan isterinya memutuskan bahawa “cerita terbaik ialah mengatakan bahawa defendan sebelum ini telah melabur dalam perniagaan hartanah Chan”, pendakwa raya berkata Leissner akan memberi keterangan.

Leissner juga akan mengatakan bahawa Ng dan isterinya “akan mengada-adakan cerita” tentang asal-usul pelaburan itu, menurut pihak pendakwa.

Pendakwa raya berkata, selepas Ng ditangkap di Singapura pada 2017, isteri Ng menelefon Leissner “dalam keadaan panik”, Leissner akan memberitahu juri.

Lim berkata, mereka semua perlu mempunyai “cerita biasa” mengenai pemindahan wang itu dan berkata, Ng telah mendedahkan kepada penyiasat “tiada perkara lain tentang mereka” dan “meremehkan hubungan semasa antara” suaminya dan Leissner, menurut pihak pendakwa raya.

Perbicaraan Ng, yang dalam minggu ketiga, ditangguhkan petang Khamis lalu hingga Selasa untuk memberi masa peguam Ng menyemak sekurang-kurangnya 15,500 dokumen yang lewat disediakan oleh mahkamah pada minggu lepas. – Bloomberg