KUALA LUMPUR – Pelabuhan-pelabuhan di Malaysia tidak berurusan secara langsung dengan mana-mana pelabuhan di Ukraine, sebaliknya, lebih menumpukan pelabuhan di Turki dan Malta 2, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Beliau berkata justeru, kesan langsung akibat krisis Rusia-Ukraine yang masih diteliti pihaknya bukanlah dari segi impak ke atas pelabuhan tetapi terhadap perniagaan.
“Secara langsungnya kita tidak berurusan dengan pelabuhan di Ukraine, kecuali kita ada komitmen atau kesalinghubungan pelabuhan-kepada-pelabuhan…tetapi ini lebih kepada pelabuhan, dengan pelabuhan Turki dan Malta.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesan konflik Rusia-Ukraine secara langsung ke atas pelabuhan Malaysia.
Wee berkata Malaysia berpandukan dasar kerajaan yang sentiasa menghormati keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang selain apa juga komitmen negara kepada antarabangsa akan dipatuhi.
Pelabuhan Klang di Selangor mengekalkan prestasinya di kedudukan ke-12 manakala Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor berada di kedudukan ke-15, katanya.
“Pelabuhan Klang sebenarnya mampu mengatasi Pelabuhan Dubai dengan beza TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) sebanyak 20,000 sahaja sekiranya negara tidak menghadapi kekangan akibat banjir pada hujung tahun lepas,” katanya.
Wee berkata secara purata operasi seharian di pelabuhan tersebut adalah sekitar 35,000 TEU.
Bagaimanapun, Malaysia berjaya merekodkan pencapaian luar biasa bagi sektor maritim pada 2021 dalam situasi kekangan ekoran pandemik COVID-19, katanya.
“Pada mulanya sektor ini mengalami penguncupan tetapi kemudian pulih dengan cepat. 90 peratus daripada perdagangan kita adalah melalui laut.
“Jadi, sebab itulah kenapa ‘no shipping, no shopping’ (tiada penghantaran melalui kapal, tiada beli-belah). Ini merupakan sumbangan terbesar maritim di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Pengangkutan akan meneruskan usaha yang bukan sahaja untuk mengekalkan prestasi sektor tersebut malah demi masa depannya.
“Kita kena buat transformasi dari segi digitalisasi, dari segi pengoperasian, elektronik dan tanpa kertas serta pada masa sama mengurangkan masa menunggu and lebih memfokuskan kelesterian alam sekitar,” katanya. – MalaysiaGazette