Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Purata pendapatan bersih peneroka Felda yang terlibat dalam tanaman kelapa sawit meningkat kira-kira 33% peratus daripada RM3,173 sebulan pada tahun 2020 kepada RM4,297 sebulan pada tahun 2021.

Peningkatan purata pendapatan bulanan ini berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah yang meningkat ke kira-kira RM4,400 setiap tan pada tahun 2021, berbanding dengan kira-kira RM2,800 setiap tan pada tahun 2020.

Di samping itu, pelaksanaan beberapa inisiatif oleh Felda seperti pelarasan pinjaman peneroka turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan bersih peneroka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) tentang dakwaan sesetengah peneroka Felda yang tidak mengalami peningkatan pendapatan selari dengan harga minyak sawit yang tinggi.

Walau bagaimanapun, jumlah peningkatan pendapatan peneroka tidak seragam di semua kawasan Felda disebabkan beberapa faktor-faktor, antaranya, wabak Covid-19 yang melanda dan berlakunya arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa tanah rancangan mengakibatkan aktiviti operasi ladang terpaksa dihentikan sementara waktu.

Sebagai contoh, katanua, Rancangan Felda Wilayah Terengganu yang terkesan termasuklah di Felda Selasih dan Felda Tenang Besut bagi tempoh 22
Mei hingga 4 Jun 2021 dan Felda Neram 2 di kawasan Parlimen Kemaman, DUN Air Putih bagi tempoh 21 Julai hingga 3 Ogos tahun lepas.

Selain itu, terdapat beberapa rancangan yang mengalami tempoh PKPD yang berlanjutan sehingga melebihi 14 hari.

Ada juga terdapat tanah rancangan yang dikenakan arahan PKPD buat kali kedua dan seterusnya dan arahan larangan kemasukan pekerja asing mulai Mac 2020 ekoran daripada pandemik Covid-19 telah mengakibatkan masalah kekurangan pekerja yang serius terutamanya penuai buah.

Ini mengakibatkan pusingan menuai terpaksa dikurangkan dan terdapat banyak kes buah yang sudah masak dan tidak dituai. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sedap lah menteri cakapp kamu ada elaun campur gaji lalu kesenangan kamu dibahagi kepada orang lain . Tahun 2021 aku tak pernah dapat 4000 . Memang ada orang lain dapat begitu tapi sistem pengurusan tolong perhatikan . Bulan baru ni aku dapat 1100 sahaja orang lain ada yang dapat tiga empat ribu . Kalau aku ada kuasa dah lama aku tukar pengurus felda ni . Menteri tolong tengok irang kamu

Comments are closed.