Prn johor
Ismail Simul

JOHOR BAHRU – “Inilah buah tangan yang ditinggalkan pemimpin Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada saya,” kata Ismail Simul yang menerima geran milikan tanah setelah lebih 30 tahun menunggu.

Bapa kepada dua anak ini berkata, dia cukup sebak menerima geran itu sendiri daripada bekas Menteri Besar Johor itu.

“Saya rasa yakin dan selamat sekarang. Syukur Alhamdulillah. Gembira sangat. Inilah hasil peninggalan pemimpin BN kita,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Kampung Melayu, Pandan di sini.

Ismail, 62, memberitahu, Khaled banyak membantu penduduk kampung itu mendapatkan geran walaupun terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama.

Khaled, katanya, seorang pemimpin yang menepati janji dan setakat ini tidak pernah menipu penduduk kampung ini.

“Geran yang diterima hari ini bukti Khaled menepati janji,” tambahnya.

Seorang lagi penduduk, Sharifah Adam, 58, berkata, walaupun pun menunggu hampir 30 tahun namun penantian itu berbaloi.

Dengan adanya geran di tangan, wanita ini menyimpan impian untuk membina rumah yang lebih selesa untuk lima lagi warisnya.

“Bila ada geran tiada siapa boleh kacau kita lagi. Masa tiada geran macam-macam orang masuk tanya pasal status tanah. Semua itu merisaukan saya.

“Syukur sangat-sangat terima kasih kepada BN, Datuk Khaled dan lain-lain.Terima kasih sangat,” katanya.

Sharifah Adam

Sementara itu, Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, Kampung Melayu Pandan sedikit masa dahulu dipandang sepi oleh mana-mana pihak.

“Tempat ini pada asalnya diteroka penduduk, macam sarang. Macam-macam orang yang tinggal. Keadaan sini tidak terurus tetapi apabila UMNO ambil perhatian kampung ini dan penduduk di sini terbela.

”Sejak berpuluh tahun, isu hak geran milik tanah menjadi masalah utama kepada penduduk Kampung Melayu Pandan. Kita tak boleh janji (geran) hari ini, dapat esok.

“Banyak perkara perlu diuruskan peringkat demi peringkat. Walaupun lambat, apa yang saya janji, saya kotakan,” ujarnya.

Pada 2017 ketika Johor ditadbir oleh Khaled, seramai 65 daripada 196 berjaya mendapatkan geran hak milik tanah mereka.

Namun setelah pertukaran pentadbiran baharu di negeri ini, kira-kira 196 individu masih mengharapkan dan menunggu untuk menerima geran masing-masing.- MalaysiaGazette