Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub Calon (kanan) bertembung dengan calon Perikatan Nasional (PN) N.13 Simpang Jeram, Zarul Salleh ketika mereka melakukan sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pasar Malam Sungai Abong, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2022.

MUAR – Suasana pasar malam Sungai Abong di sini gamat apabila dua rombongan parti politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bertembung ketika sesi walkabout pada hari keempat kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub terlebih tiba dahulu sekitar pukul 6 petang sebelum disusuli calon dari PN, Zarul Salleh kira-kira 15 minit kemudian.

Timbalan Presiden Amanah itu kemudiannya secara santai menegur Zarul bersama rombongannya sebelum kedua-dua mereka mengambil peluang untuk merakam gambar.

Kedua-dua calon itu sempat berbual ringkas sebelum menyambung sesi walkabout dengan bertemu penjaja dan peniaga di pasar malam berkenaan.

Keadaan juga agak sibuk apabila kedua-dua rombongan parti mengedarkan risalah mengenai calon mereka selain mengagihkan kit pelitup muka bersama cecair pembasmi kuman.

PRN Johor kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram antara Salahuddin dan Zarul serta calon dari Parti Pejuang Tanah Air, Mahaizal Mahmor dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Md Don.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pulai memenangi kerusi DUN Simpang Jeram dengan majoriti 7,687 menewaskan calon BN, Pas dan seorang calon bebas. – MalaysiaGazette