Calon Perikatan Nasional (PN) N.13 Simpang Jeram, Zarul Salleh bergambar ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pasar Malam Sungai Abong, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2022.

MUAR – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Zarul Salleh percaya kelebihan sebagai anak jati memberi nilai tambah kepadanya untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Memasuki hari keempat kempen, beliau menerima respons yang baik daripada masyarakat setempat selain sedang mengatur strategi menambat hati pengundi golongan muda.

“Walaupun saya ini calon baharu tapi mana tahu peluang itu ada, tambahan pula saya adalah anak jati Simpang Jeram dan itu merupakan satu kelebihan.

“Saya juga turut mengajar di surau serta masjid di kawasan ini dan itu mungkin membantu saya lebih dikenali sebagai seorang calon,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas sesi walkabout di pasar malam Sungai Abong di sini hari ini.

Menurut Zarul, para pengundi di DUN Simpang Jeram mempunyai mandat penuh untuk memilih calon yang bakal memimpin mereka bagi lima tahun akan datang.

Kata beliau, rakyat juga sudah merasai pemerintahan selama 60 tahun di bawah UMNO diikuti 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) dan 17 bulan bersama PN.

“Walaupun PN tiada manifesto (sebelum ini) namun banyak perkara yang kita lakukan. Mudah-mudahan di Johor ini lebih banyak perkara yang kita boleh tunjukkan kerana sebelum ini kita terjun dengan tiada sistem.

“Diharap PN di beri peluang (kali ini) lebih-lebih lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai pengalaman yang luas serta pernah menjadi Perdana Menteri dan sekarang masih berada dalam kerajaan,” ujarnya.

Beliau yang berasal dari Kampung Sabak Aur di sini merupakan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Negeri Johor dan pernah menjadi calon Parlimen Bakri pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

PRN Johor menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara penyandang kerusi Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pakatan Harapan) dengan calon Parti Pejuang Tanah Air, Mahaizal Mahmor; calon Barisan Nasional, Datuk Lokman Md Don dan Zarul mewakili PN. – MalaysiaGazette