Teh Ping Ann kini sedang bertarung nyawa di sebuah hospital di Singapura.

GEORGE TOWN – Sepasang suami isteri merayu bantuan orang ramai bagi menyelamatkan anak perempuan mereka yang kini sedang bertarung nyawa di sebuah hospital di Singapura.

Pasangan berasal dari Bukit Mertajam itu berdepan kesulitan apabila anak tunggal mereka berusia setahun yang sepatutnya menjalani pembedahan pemindahan sum sum tulang di negara jiran tiba-tiba mengalami pendarahan otak.

Menurut Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau, Teh Ping Ann dijadualkan menjalani pemindahan sum sum tulang daripada ayahnya pada 22 Februari lalu selepas mereka berjaya mendapat sumbangan awam bagi pembedahan tersebut.

Kata Sui Hau, segala percaturan keluarga itu untuk mengembalikan keceriaan dalam hidup anak kecil mereka hancur apabila kanak-kanak itu perlu menjalani pembedahan kecemasan pada tempurung kepala dan otak bagi menyelamatkan nyawanya.

Sui Hau (kanan, bawah) mengadakan perbincangan dengan keluarga Ping Ann.

“Tiga beranak itu tiba di sebuah hospital di Singapura pada Disember 2021 sebagai persediaan menjalani pemindahan sum sum tulang namun pada 2 Februari Ping Ann mengalami epilepsy sebelum pengsan.

“Kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital sebelum pihak hospital mengesahkan dia perlu pembedahan tempurung kepala dan otak untuk megambil keluar ketulan darah daripada otaknya.

“Dua pembedahan telah dilakukan untuk mengeluarkan ketulan darah tersebut dan kini kanak-kanak itu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi untuk rawatan lanjut sementara menunggu masa yang sesuai untuk pemindahan sum sum tulang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Sui Hau, kos rawatan yang dikumpul untuk pemindahan sum sum tulang digunakan bagi pembedahan tempurung dan otak dan kini pasangan itu memerlukan bantuan RM800,000 bagi melakukan pemindahan tersebut serta rawatan lanjut.

“Selepas mengadakan beberapa perbincangan bersama ibua bapa kanak-kanak itu dan doktor pakar dari Hospital Singapura, pihak One Hope Charity telah mempersetujui untuk menguruskan kos rawatan pemindahan sum sum tulang dan rawatannya.

“Dalam masa kita meminta orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank Berhad 3201428817 atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org.

Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi  One Hope Charity  talian 016 419 2192, 019-232 2192 atau 04 539 9212 untuk pertanyaan lanjut,” ujar beliau. – MalaysiaGazette