Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Sikap dendam kesumat dan nafsu serakah politik harus dihentikan, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, pemimpin harus mengamalkan politik matang, bukan lagi mewarisi sistem lama iaitu memenjarakan mereka yang tidak bersetuju, tetapi diangkat serta diberi anugerah tambahan jika sehaluan.

Justeru, katanya, apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, Pakatan Harapan (PH) selaku pembangkang mengadakan persefahaman politik (MoU) dengan kerajaan Keluarga Malaysia.

Kata beliau, tujuan MoU itu adalah untuk melahirkan suasana politik yang matang, tetapi jika berlaku kekhilafan dalam pentadbiran, PH tetap lawan dan bantah.

“Soal kekhilafan yang berlaku dalam pentadbiran tetap kita lawan, bantah dan akan kita teruskan.

“Tidak ada tolak ansur langsung dalam soal pengurusan kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Malah, kita tanya terus kepada Perdana Menteri, bukan lagi berselindung, sama ada dalam dewan, di luar dewan, di khalayak umum ataupun bersama dalam rundingan dengannya serta dan rakan yang lain,” katanya dalam perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, hari ini.

Dalam sesi perbahasan itu, Anwar yang juga Pengerusi Majlis Presiden PH menegaskan hal berkaitan MoU pembangkang dengan kerajaan kerana ada yang salah faham dengan memorandum itu.

Ujar beliau, MoU itu bermaksud bukan memberi laluan mudah kepada Perdana Menteri untuk mengekalkan kuasa.

“Perjanjian ini bukan memberikan isyarat nyata bahawa Perdana Menteri akan kekal tanpa dicabar. Tidak ada peruntukan yang melarang cabaran, bantahan ataupun penolakan kedudukannya.

“Tetapi, selagi ada persefahaman dan ada perundingan sepertimana dengan kerjasama Yang Dipertua Speaker baru-bari ini, ia merupakan satu kemajuan yang besar dalam soal reform Parlimen. Saya ucapkan terima kasih,” katanya.

Beliau berkata, walaupun PH bukan lagi sebagai kerajaan, tetapi dalam keterbatasan pentadbirannya selama 22 bulan, ada kemajuan yang tidak boleh dinafikan berjaya dicapai.

“Bagaimanapun, ia tidak memenuhi maksud PH mengenai kebebasan badan kehakiman, kebebasan badan penguatkuasaan dan kebebasan SPRM, itu yang tertera dalam matlamat kita yang belum tertunai, tetapi kemajuan ke arah itu sebahagian besarnya telah dapat dirungkaikan.

“Ini yang saya nak jelaskan, supaya suara-suara yang terdesak di luar sana dapat juga dimengertikan supaya tidak ada tohmahan yang keterlaluan,” katanya. – MalaysiaGazette