KUALA LUMPUR – Polis menahan lapan lelaki warga asing serta seorang wanita tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan sabung ayam di belakang sebuah rumah di Taman Keramat Permai, di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya sekitar pukul 1.30 tengah hari berdasarkan aduan yang diterima.

“Seramai lapan lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an hingga 50-an ditahan bersama seorang wanita tempatan berusia 52 tahun.

“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati kesemua suspek warga asing memiliki pasport tamat tempoh namun, ujian air kencing yang dijalankan menunjukkan suspek negatif dadah selain tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM990, lima ekor ayam jantan dan empat unit telefon bimbit dalam serbuan itu.

Katanya lagi, kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette