Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR- Sejumlah 160 projek pembangunan di seluruh negara dikategori sebagai ‘projek sakit’ dengan 92 daripadanya sedang dan telah diambil tindakan intervensi atau penyelesaian masalah oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata daripada 92 projek itu, sebanyak 41 projek berjaya dipulihkan dan mengikut jadual pelaksanaan projek yang dirancang.

“Sejumlah 51 projek lagi sedang dalam tindakan pemulihan,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bersatu-Bukit Gantang) mengenai jumlah projek kerajaan yang terbengkalai setakat tahun ini dan projek gajah putih yang terbiar tanpa dibangunkan semula.

‘Projek sakit’; ditakrifkan apabila kemajuan kerja fizikal mengalami kelewatan melebihi 20 peratus berbanding jadual dirancang.

Sementara itu, Mustapa berkata Ahli Parlimen yang mempunyai masalah projek terbengkalai atau lambat di kawasan mereka diminta mengemukakan masalah mereka itu kepada pihaknya secara bertulis.

“Yang Berhormat lebih tahu mengenai isu projek di kawasan masing-masing, kita memang ada sistem pantauan, tetapi mungkin sistem ini tidak lengkap, jadi Ahli Parlimen perlu jadi ‘mata dan telinga’ kerajaan supaya kita boleh pastikan setiap projek pembangunan ini berjalan dan disiapkan seperti dirancang,” katanya.

Mustapa berkata bagi 2022, iaitu tahun kedua Rancangan Malaysia Ke-12, sejumlah 6,755 projek di bawah perbelanjaan pembangunan diluluskan dengan peruntukan RM75.6 bilion dan daripada jumlah itu, kira-kira 5,400 projek merupakan projek sambungan daripada RMK11.

Beliau berkata bagi memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan lancar, beliau bersama Ketua Setiausaha Negara mempengerusikan Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara untuk mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan.

Sejak penubuhan pada Disember 2020, jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak 10 kali dan terakhir adalah pada 31 Jan, katanya.- BERNAMA