Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Pihak bank boleh mengenakan sekatan ke atas mana-mana pelanggan atau akaun bank yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan akaun atau aktiviti jenayah, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Sekiranya transaksi-transaksi sesebuah akaun menimbulkan kecurigaan, pihak bank boleh mengenakan sekatan sementara ke atas akaun tersebut bagi membolehkan penilaian secara menyeluruh dapat dilaksanakan di samping memastikan wang daripada aktiviti penipuan ataupun aktiviti-aktiviti jenayah lain tidak dikeluarkan daripada akaun tersebut,” jawabnya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling ) yang bertanya apakah pihak bank berkuasa untuk menutup akaun pengguna secara serta-merta hanya berdasarkan kepada fakta-fakta bahawa ada transaksi yang mencurigakan dalam akaun pelanggan tanpa melakukan siasatan atau inkuiri terhadap pemegang akaun dan apakah langkah-langkah yang sepatutnya dilakukan oleh pihak bank sebelum memutuskan bahawa akaun-akaun ini wajar ditutup serta-merta.

Jelasnya, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menerbitkan garis panduan dan amalan terbaik bagi membantu pihak perbankan di Malaysia dalam melaksanakan usaha ketekunan wajar pelanggan, pemprofilan risiko pelanggan secara berkesan, mengenal pasti kewujudan sesuatu penipuan kewangan melalui petunjuk (red flags) serta memahami kaedah-kaedah dan trend jenayah kewangan terkini.

Antara bentuk sekatan yang boleh dikenakan oleh pihak bank adalah seperti menyekat kemudahan perbankan internet, kad debit dan mesin juruwang automatik, selain penutupan akaun setelah pihak bank berpuas hati dengan hasil penilaian mereka.

Menurut beliau, setelah melaksanakan langkah-langkah tersebut dan menilai tahap risiko yang sewajarnya, pihak bank boleh, tertakluk kepada perintah
sekatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, mengambil keputusan untuk meneruskan transaksi atau urusan perniagaan dengan pemegang akaun tersebut, atau berdasarkan faktor-faktor tertentu, memutuskan untuk tidak meneruskan transaksi atau menutup akaun pelanggan.

Langkah penutupan akaun hanya diambil setelah pelaksanaan penilaian yang menyeluruh telah dilakukan, dan setelah memberi notis dalam tempoh yang munasabah kepada pelanggan.

Secara ringkas, penamatan hubungan antara bank dan pelanggan bukanlah keperluan di bawah undang-undang.

Tambah Tengku Zafrul, ia adalah panggilan perniagaan oleh pihak perbankan atau institusi kewangan berdasarkan penilaian risiko dalaman mereka. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sekarang banyak platform tambah pendapatan dalam online..itu pilihan masa pandemik , seharusnya kerajaan membenarkan pengeluaran 10k kwsp
    ..dengan sekatan2 yg di buat oleh kerajaan tidak membantu malah menyusahkan

Comments are closed.