Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Program Ceramah Kelompok bersama penduduk setempat sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Felda Adela, Pengerang, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 MAC 2022.

PENGERANG – Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak membenarkan pemimpin politik membuka pelitup muka ketika berkempen hanya satu cubaan jelas untuk menghalang pengundi mendengar ceramah.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sedangkan perkara itu dibenarkan apabila beliau sendiri mahu berbahas titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di Parlimen.

“Orang nak cakap tak boleh buka ini (pelitup muka), kena duduk jauh daripada orang.

“Kenapa tak boleh (buka) kerana apa, pakar mana? Ini cuma nak ganggu supaya orang tak dapat dengar (ceramah) dengan baik.

“Di Parlimen saya boleh buka ini (pelitup muka), saya cakap semalam satu jam setengah, speaker cakap kalau nak cakap boleh buka.

“Tapi jumpa orang kampung tak boleh buka, ini bangang punya keputusan,” katanya ketika berucap pada ceramah kelompok bersama komuniti peneroka di Felda Adela, di sini, hari ini.

Anwar juga membidas keputusan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad yang menasihatkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika negara kes Covid-19 semakin tinggi.

“Nak kempen, kamu tahu ada penyakit, kamu nak buat haprak kerja sial, paksa orang dalam pilihan raya sebab apa.

“Bila buat pilihan raya, sekat itu, sekat ini, ini bapak kamu punya negeri ke.

“Kamu ada kuasa, ini tak boleh itu tak boleh, ini pilihan raya apa. Ingat rakyat ini bodoh nak dipermainkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette