Jagdeep Singh Deo.

GEORGE TOWN – 299 kes aktif Covid-19 dicatat membabitkan kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) setakat hari ini.

Daripada jumlah itu, 153 kes membabitkan warga MBPP manakala 146 warga MBSP.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, berdasarkan data sehingga semalam, 1,580 kes kumulatif jangkitan Covid-19 dalam kalangan kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) direkodkan.

“MBPP mencatatkan kumulatif jangkitan kes Covid-19 sebanyak 760 kes manakala MBSP pula 820 kes.

“Terdapat peningkatan ketara kes baharu harian pada bulan Februari tahun ini dan peningkatan ini bukan sesuatu yang luar jangka. Situasi ini adalah berikutan penularan varian Omicron yang lebih mudah merebak termasuk di negara-negara lain di seluruh dunia.

“Segala langkah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk merawat, kuarantin dan mencegah penularan wabak itu dalam segala aspek penugasan kakitangan dilaksanakan.

“Malah, perancangan dalam memastikan kerja di lapangan tidak terjejas akibat jangkitan Covid-19 turut dilakukan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Jagdeep menyampaikan kit ujian kendiri Covid-19 kepada wira hadapan MBPP, MBSP, Perumahan serta JPBD.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang dan Setiausaha MBSP Baderul Amin Abdul Hamid.

Mengulas lanjut Jagdeep berkata, pemberian dos penggalak merupakan langkah terbaik dalam memberi perlindungan terutama dalam gelombang Omicron yang pantas merebak ketika ini.

“Sebanyak 26.18% daripada 6,981 kakitangan PBT telah menerima dos penggalak dan 48.34% kakitangan lagi sudah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera tetapi masih belum menerima temujanji,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 2,422 kes baharu dilaporkan di Pulau Pinang sekali gud menjadikan kumulatif kes jangkitan Covid-19 di negeri itu sebanyak 215,124 kes. – MalaysiaGazette