Kes jenayah pecah tabung di masjid dan surau seluruh Melaka meningkat sebanyak 163 peratus pada tahun ini.- Gambar hiasan.

MELAKA – Kes jenayah pecah tabung di masjid dan surau seluruh Melaka meningkat sebanyak 163 peratus pada tahun ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, peningkatan itu menyaksikan 21 kes sejak Januari hingga Februari lalu berbanding hanya lapan kes sahaja dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan sebanyak 13 kes atau 163 peratus itu dilihat agak membimbangkan walaupun beberapa tangkapan telah dibuat melibatkan individu berusia antara 15 hingga 35 tahun.

“Walaupun kerugian yang dilaporkan adalah kecil, iaitu antara RM40 hingga RM1,500 bagi setiap kes, namun kejadian ini menyumbang kepada indeks semasa jenayah di Melaka.

“Sepanjang Januari hingga Februari lalu, tujuh lelaki berusia antara 15 hingga 35 tahun berjaya ditangkap sekaligus menyelesaikan lapan kes pecah tabung masjid dan surau melibatkan anggaran kerugian keseluruhan RM5,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Abdul Majid, antara kawasan tumpuan suspek yang turut mempunyai rekod jenayah dan dadah adalah sekitar Tanjung Minyak, Tanjung Kling, Batang Tiga, Kandang, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah dan Alor Gajah.

“Suspek juga dipercayai menggunakan hasil curi tabung masjid untuk membeli dadah dalam kuantiti kecil dan perbelanjaan makanan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Kes kebanyakannya berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi dengan cara mengumpil pintu masuk masjid atau surau yang berkunci selain suspek turut memakai topi keledar atau pelitup muka bagi menyembunyikan identiti,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan 457 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan dan pecah masuk bangunan.

Jelas Abdul Majid, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan pihak polis bagi membanteras kejadian berkenaan, ia masih berlaku dan perlu ditangani dengan kerjasama masyarakat setempat.

Sehubungan itu beliau meminta semua ahli jawatankuasa masjid dan surau di Melaka agar turut sama membantu polis bagi mengekang perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Pihak polis menyarankan agar kutipan wang dalam tabung dibuat setiap hari dan disimpan di tempat selamat yang secara tidak langsung menutup peluang kepada penjenayah

“Jawatankuasa rumah ibadah juga dinasihatkan memasang sistem kamera litar tertutup yang berkualiti di lokasi-lokasi sesuai bagi meningkatkan keselamatan dan memudahkan pihak polis membuat siasatan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast