KUALA LUMPUR – Peminat bola sepak tempatan menerima berita baik pada musim ini apabila Liga Bola Sepak Malaysia Sepak (MFL) mengumumkan 90 perlawanan Liga Premier 2022 akan disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial Youtube mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, tayangan siaran langsung perlawanan Liga Premier musim ini pastinya satu perkhabaran gembira buat penyokong bola sepak tempatan yang amat dahagakan aksi saingan itu.

“Umum mengetahui siaran langsung buat Liga Premier sejak dua tahun kebelakangan ini sedikit terjejas disebabkan pandemik Covid-19 yang menyerang seluruh dunia pada Mac 2020 dan Liga Premier tidak terkecuali menerima tamparan ini.

“Demi kepuasan penyokong-penyokong, MFL sedang berusaha mengelak isu teknikal stadium untuk menyiarkan siaran langsung kesemua 90 perlawanan Liga Premier musim . Jika segala berjalan lancar MFL akan menyiarkan 90 perlawanan Liga Premier 2022 bagi memastikan kemeriahan Liga Malaysia dapat dinikmati semua penyokong,” katanya.

Saingan Liga Premier 2022 akan melibatkan 10 pasukan, iaitu Johor Darul Ta’zim II, Kelantan FC, Kelantan United FC, Kuching City FC, PDRM FC, Perak FC, Selangor FC 2, Skuad Projek FAM-MSN, Terengganu FC II dan UiTM FC.

Selain aksi lebih rancak dan mendebarkan di atas padang yang bakal dipamerkan oleh semua pasukan dalam pemburuan kejuaraan, Liga Malaysia musim ini menjadi lebih berseri apabila diwarnai dengan kombinasi penaja lama dan baharu.

Ini kerana penaja utama yang menjadi penyiar rasmi Liga Super dan TM Piala Malaysia, Telekom Malaysia (TM) unifi dan Puma menerusi pengedarnya Active Sports sebagai Bola Rasmi Liga Malaysia hadir bersama Rakan Pelaburan Kripto Liga Malaysia, Luno, (Rakan Logistik Liga Malaysia) Pos Malaysia, Proviton STR sebagai Rakan Minuman Isotonik Liga Malaysia dan Uphamol bertindak sebagai Rakan Analgesik Liga Malaysia. – MalaysiaGazette