pilihan raya PBT
Mike Chong Yew Chuan

JOHOR BAHRU – MCA menuntut ahli Parlimen DAP, Teresa Kok memohon maaf secara terbuka kerana menfitnah parti itu berhubung penganjuran persembahan tarian singa dalam satu majlis sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Jurucakap MCA, Mike Chong berkata, tuntutan yang sama perlu dibuat Teresa kerana mengugut polis yang telah menjalankan tugas mereka secara professional ketika insiden itu berlaku.

Tegas beliau, persembahan tarian singa tersebut adalah anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyambut kehadiran tetamu jemputan mereka iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dan tetamu kehormat lain.

“Ditegaskan juga bahawa majlis makan malam tersebut bukanlah anjuran MCA. Jadi kenapa pula Teresa menuduh BN (Barisasn Nasional) membuli PH?

“Memandangkan ketika ini masih lagi dalam mood perayaan Tahun Baharu Cina, maka sudah tentulah penganjur mengadakan tarian singa untuk meraikan tetamu.

“Malah, permohonan untuk penganjuran majlis ini juga diluluskan pihak berkuasa dan dibenarkan seiring Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Keempat.

“MCA berterima kasih kepada penganjur kerana mengadakan majlis ini dan memberi peluang kepada MCA untuk memperkenalkan calon kami,” katanya pada sidang media atas talian hari ini.

Semalam, Teresa mengeluarkan kenyataan dengan mendakwa BN membuli PH dan menuduh persembahan tarian singa anjuran penyokong BN-MCA sebagai punca ceramah DAP berlangsung lewat 30 minit pada malam 26 Februari lalu.

Seorang lagi Ahli Parlimen DAP, Ngeh Koo Ham turut mengeluarkan kenyataan tidak berasas semata-mata mahu membela Teresa.

Dalam kejadian itu, Teresa telah mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam ucapan berbahasa Mandarin ketika ceramah DAP tersebut,

Teresa yang merupakan Ahli Parlimen Seputeh dengan jelas mengeluarkan kenyataan yang berbunyi, “Anda (polis) tahulah nanti bila kami (DAP) jadi kerajaan”.

Ucapan bekas menteri Kabinet itu turut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial dalam talian.

Selain mereka yang hadir, penonton dalam talian juga dapat mendengar dengan jelas kenyataan berbaur ugutan terhadap anggota polis yang sedang bertugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam pada malam kejadian.

Chong menambah, Teresa terbukti telah mengugut dan bertindak biadap dengan PDRM dengan menggunakan alasan tarian singa sebagai puncanya.

Tegas beliau, pemimpin DAP tidak perlu lagi mengalih perhatian orang ramai dengan membuat pelbagai alasan demi ‘menegakkan benang basah’.

“Sekiranya mereka berani mengugut polis, maka mereka juga perlu berani mengambil tanggungjawab, bukannya lepas tangan dan menyalahkan orang lain.

“Anggota keselamatan hanyalah melaksanakan tugas mereka mengikut undang-undang bagi memastikan perjalanan kempen PRN Johor ini berjalan dengan baik dan lancar serta melindungi orang ramai daripada penularan wabak Covid-19.

“Justeru itu, semua parti politik haruslah menghormati tugas anggota keselamatan dan memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya. – MalaysiaGazette