Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di ceramah MUDA di Machap.

SIMPANG RENGGAM – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui parti itu hanya sekadar ‘underdog’ malah calon yang ditampilkan olehnya di DUN Machap bukanlah golongan bangsawan seperti calon tertentu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Sebaliknya kata Syed Saddiq, calon bagi DUN Machap adalah anak seorang pemandu lori yang melalui kehidupan cukup susah sebelum berjaya menjadi seorang peguam pada usia yang muda.

“Parti Muda akui kami adalah ‘underdog’. Calon kita juga bukanlah dari golongan bangsawan sebaliknya hanya anak pemandu lori dan yatim piatu tetapi usaha dia sendiri bekerja keras dan kini menjadi rakan kongsi dalam sebuah firma undang-undang.

“Saya kongsikan perkara ini kerana kita bukanlah ada kedudukan kewangan yang bagus, jentera parti yang besar, sangat mewah atau mempunyai kawalan terhadap media.

“Tetapi yang ada ialah budaya khidmat yang baik, rekod kerja yang cemerlang dan itu yang mustahak sekali. Kita sangat berharap supaya para pengundi kita akan beri sokongan kepada calon kita, R Sangaran bagi DUN Machap,” katanya selepas sesi ceramah MUDA bersama pemimpin PH di sini hari ini.

R Sangaran calon Muda Machap

Untuk makluman, kerusi DUN Machap akan menyaksikan pertembungan antara Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang merupakan cicit kepada pengasas UMNO Allahyarham Datuk Onn Jaafar.

Selain itu, persaingan bagi kerusi ‘panas’ juga disertai Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Johor Azlisham Azahar yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan juga Sangaran dari MUDA.

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar melahirkan rasa gembira dengan pengumuman ceramah sepanjang kempen PRN Johor dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam.

Sebelum ini tempoh masa ceramah telah dihadkan dihadkan sehingga 10 malam sahaja.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berharap akan ada lebih banyak kelonggaran akan diberikan dalam tempoh terdekat ini.

“Ada banyak lagi SOP lain yang sebenarnya boleh dilonggarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan SPR ketika masa kempen ini, kelonggaran ini juga satu keperluan,” ujarnya. -MalaysiaGazette