Halimah Mohamed Sadique

KOTA TINGGI – Lebih 2.57 juta pengundi berdaftar layak mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini diingatkan tidak mengulangi kesilapan sama dengan memberi mandat kepada parti pembangkang hingga mewujudkan ketidakstabilan kerajaan negeri itu.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique berkata, pelbagai janji ditaburkan namun gagal dilaksanakan sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan.

“Saya harap rakyat dan pengundi Johor tidak terpengaruh jangan terperangkap dengan janji-janji manis.

“Dulu dah sekali, tak ada apa pun buat, takkan kali ketiga boleh jadi.

“Saya harap pengundi-pengundi dalam N36 Sedili dan N37 Johor Lama kita berikan mandat kepada BN untuk kita menangkan kerusi pada kali ini.

“Kita harap keyakinan pengundi itu akan diberikan kembali supaya kerusi ini masih berada kepada BN demi meneruskan agenda kesejahteraan rakyat,” katanya pada sidang media di Felda Bukit Easter, di sini, hari ini.

Beliau mengulas manifestor PN yang dilancarkan semalam.

Antara tawaran yang terkandung dalam janji pilihan raya termasuk menawarkan pemberian air percuma 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan manifesto PN ituberkata, tawaram tersebut bertujuan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat Johor yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Halimah berkata, DUN Sedili dan Johor Lama yang berada dalam Parlimen Kota Tinggi  sebelum ini milik UMNO.

Sehubungan itu, pada PRN Johor kali ini, pengundi diberi ruang demokrasi untuk memilih parti mana yang benar-benar stabil dan layak membentuk kerajaan.

“Dari dulu ini (Sedili dan Johor Lama) adalah kawasan BN dan saya yakin rakyat Insya-Allah dalam kedua-duanya DUN ini akan memberikan sekali lagi mandat kepada BN untuk kita tubuh kerajaan negeri.

“Insya-Allah kerajaan negeri akan uruskan agenda-agenda yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

-TAMAT-

1 Komen

  1. Janji ph pun apa kurangnya padan muka kena tipu dek atok kau. Manifesto ph bukan kitab suci rupanya atok ada projek lain dari ph . Bila huru-hara begini atok sembunyi diam diam . Seolah dia tak terlibat langsung .

Comments are closed.