Datuk Mohd Kamarudin Md Din

KUALA LUMPUR – Polis membuka sebanyak 66 kertas siasatan membabitkan dua skim penipuan pelaburan yang tidak wujud iaitu Al Kahtifah Trust dan Madinah Mining.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, siasatan sedang dijalankan terhadap kedua-dua skim dengan jumlah keseluruhan kerugian bernilai RM812,152.

“Berdasarkan siasatan, kedua-dua skim pelaburan ini dikesan mula aktif sejak penghujung tahun lalu dengan menggunakan platform media sosial untuk mencari pelabur.

“Pakej yang ditawarkan adalah serendah RM500 dengan kadar keuntungan 100 peratus dalam tempoh satu hingga dua hari sahaja.

“Bagi meyakinkan pelabur, penganjur pelaburan ini mendakwa skim yang ditawarkan adalah patuh syariah dan mempunyai kelulusan dari Bank Negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan pihak polis memberi jaminan bahawa siasatan terperinci akan dijalankan bagi memastikan ahli sindiket yang terlibat dapat dituduh di mahkamah.

Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memberikan perhatian dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan Pengasas dan Presiden AUF MBZ Consortium, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman mendakwa namanya banyak digunakan oleh sindiket penipuan pelaburan tidak wujud lebih-lebih lagi selepas mendirikan rumah tangga dengan selebriti, Heliza Helmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Google sendiri pun jadi scamer juga apa lagi ayam kurap kat bawah ni menumpang je lah .

Comments are closed.