Superintendan Lee Chong Chern, KPD Seberang Perai Selatan

NIBONG TEBAL – Seramai 10 individu termasuk empat wanita yang terlibat dalam kegiatan memberi pinjaman wang haram menerusi online diberkas dalam satu serbuan di sebuah premis di Bandar Tasek Mutiara di sini kelmarin.

Serbuan jam 4.30 petang itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan kerjasama IPD Seberang Perai Selatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, serbuan itu membawa kepada penemuan sekumpulan bersama peralatan elektronik dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil siasatan lanjut membongkarkan enam lelaki serta empat wanita tempatan yang berusia 18 hingga 30 tahun itu menggunakan premis tersebut bagi menjalani kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen menerusi online.

“Siasatan juga mendapati mereka menjadikan premis itu sebagai pusat panggilan untuk mengutip hutang.

“Turut dirampas dalam serbuan itu pelbagai barangan elektronik antaranya komputer riba, telefon bimbit, kad pra bayar yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. – MalaysiaGazette