KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) hari ini mengumumkan perlantikan Tomislav Steinbruckner sebagai pengarah teknikal yang baharu bermula musim 2022.
TFC dalam satu kenyataan berlata, pegawai yang berasal dari Croatia itu bakal menerajui kesemua struktur pasukan di bawah kelab itu.
Beliau bukanlah nama asing bagi peminat bola sepak tempatan kerana membimbing pasukan T-Team.
“Tomislav sememangnya tidak asing lagi dikalangan para penyokong di negeri Terengganu dan Malaysia kerana beliau pernah menjadi Ketua Jurulatih bagi pasukan T-Team FC pada tahun 2015.
“Kini beliau kembali ke bumi Terengganu, untuk tugasan yang lebih besar sebagai Pengarah Teknikal dan beliau menganggap ianya cabaran baru beliau di Malaysia,” tulis kenyataan itu.
Steinbruckner juga adalah antara individu yang mengilap bakat Safawi Rasid dan Arif Fadzillah ketika bersama T-Team.
Jawatan pengarah teknikal telah lama diwujudkan bagi sesetengah kelab di Eropah yang diberi tugas utama untuk membangunkan program di peringkat akar umbi.
Pengarah teknikal akan dibantu oleh sepasukan jurulatih yang bertauliah untuk menjayakan program pembangunan pemain muda seperti di akademi bolasepak. – MalaysiaGazette
















