Hishammuddin Hussein

SEMBRONG – Persepsi rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) kini sudah berubah dan sama sekali tidak akan sesekali termakan dengan fitnah atau janji-janji kosong pembangkang seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).

Lantaran itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yakin kemenangan akan berpihak kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Beliau juga positif dengan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Sembrong khasnya N30 Paloh yang mempertaruhkan muka baharu dari MCA, Lee Ting Han.

”Di Parlimen Sembrong ini ada dua kawasan DUN iaitu Kahang dan Paloh, parti telah buat keputusan dan saya amat lega dengar laporan dari jentera kita khususnya dari UMNO bekerja keras untuk memastikan kemenangan besar bagi BN.

“Saya harap kita dapat rapatkan barisan, kita pastikan calon kita menang pada hari pembuangan undi nanti.

“Kita kalah dulu dengan 700 undi sahaja di kawasan Paloh ini, calon baharu ini juga disokong oleh UMNO juga MIC. Kita akan terjemahkan kemenangan BN dengan pembangunan menyeluruh di Paloh nanti,” katanya.

Dalam pada itu, kata Hishammuddin, pembangkang tidak boleh berterusan memberitahu pengundi bahawa mereka tidak mempunyai kuasa lagi dan memerlukan undi untuk kembali berkuasa.

“Hujah-hujah mereka tidak berkuasa untuk orang ramai mungkin laku tetapi mereka di Paloh, saya rasa mereka tidak akan termakan dengan janji dan hujah tidak berasas.

“Pembangkang ini pernah pegang kuasa dan jadi wakil rakyat di sini sebelum ini,” tegasnya.

DUN Paloh menyaksikan calon pertembungan antara Ting Han dari BN dengan penyandang kerusi, Sheikh Umar Bagharib daripada Pakatan Harapan (PH), V Selvendran (PN) dan Aminuddin Johari (Pejuang).

Kata Hishammuddin lagi, walaupun calon BN di kawasan ini masih baharu di Paloh namun seandainya pengundi memberi peluang kepadanya, dia pasti boleh menjadi seorang wakil rakyat yang baik. – MalaysiaGazette