Zaini Abu Bakar

ISKANDAR PUTERI – Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar mahu membantu golongan muda dengan mencipta peluang pekerjaan dan peniagaan.

Dr Zaini Abu Bakar berjanji memperjuangkan perkara itu jika diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Itu adalah fokus utama beliau kerana baginya setiap anak muda perlu diberi mendapat pekerjaan atau membuka perniagaan sendiri bagi membantu mereka menjana pendapatan khususnya menjadi usahawan dalam sektor pelancongan.

Tambah Zaini, untuk itu, beliau telah menggariskan beberapa cadangan seperti akan meminta kerjasama daripada jabatan dan agensi-agensi kerajaan bagi membuka peluang kepada golongan muda mendapatkan pekerjaan.

Antara perniagaan yang mendapat perhatian adalah perniagaan makanan berkonsepkan food truck, ejen pelancongan serta memberi perkhidmatan bot memandangkan Kota Iskandar mempunyai beberapa kampung tradsional yang boleh dibangunkan.

“Kita kalau ikut Kota Iskandar ini, dia cukup luas, kalau ikutkan ibu pejabat pembangunan Johor Bahru pun ada, Tanjung Pelepas pun ada dengan bangunan canggih pun ada, kilang pun ada, hotel lima bintang pun ada dan cuma penduduk kampimg tradisi pun ada.

“Jadi saya berpandangan, ekonomi dan perniagaan yang ada itu saya akan rancakkan balik dan saya memastikan penduduk baik di kampung tradisi mahu pun di sini mendapat ruang pekerjaan sewajarnya,” katanya ketika ditemui di sesi walkabout di sini hari ini.

Selain memberi fokus kepada orang muda, pihaknya juga akan berusaha tidak melupakan golongan wanita.

Jelasnya, kaum wanita juga perlu diberikan peluang khususnya dalam bidang perniagaan secara atas talian bagi membantu mereka menjana pendapatan terutama melibatkan suri rumah.

Dalam PRN Johor, Pejuang bertanding sebanyak 42 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi DUN.- MalaysiaGazette