Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penggunaan katil bagi kes kritikal positif Covid-19 di Unit Rawatan Rapi bagi Wilayah Persekutuan Purajaya menunjukkan peningkatan berbanding kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jika kelmarin merekodkan 67 peratus penggunaan katil bagi kes kritikal namun semalam meningkat kepada 83 peratus.

Katanya, turut naik ialah Selangor, daripada 51 peratus pada 2 Mac kepada 57 peratus semalam, manakala Kelantan kekal 60 peratus, WP Kuala Lumpur (kekal 58 peratus), Pulau Pinang (kekal 50 peratus) dan Johor turun kepada 57 peratus daripada 59 peratus.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah flood victims Covid-19 positive infectious diseases
Dr Noor Hisham Abdullah

“Bagi penggunaan katil bukan ICU pula, Selangor mencatatkan penurunan daripada 113 peratus pada 2 Mac kepada 111 peratus semalam.

“Bagaimanapun, di Perak menyaksikan pertambahan kepada 105 peratus berbanding 102 peratus, Perlis bertanbah 98 peratus banding 91 peratus, Kuala Lumpur menurun 91 peratus daripada 106 peratus, Putrajaya naik 88 peratus daripada 67 peratus, Kelantan turun 74 peratus daripada 93 peratus dan Pahang naik 73 peratus daripada 70 peratus,” katanya dalam kenyataan kepada hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, bagi pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat kepada 204 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator ialah 24 peratus.

Kata beliau, secara keseluruhannya, setiap negeri telah bersiapsiaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke PKRC, hospital dan ICU.

“Kita ingin menjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes kategori 1 hingga 5 yang baharu didiagnosa pada setiap hari.

“Ini memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

“Misalnya, semasa didiagnosa, mungkin pesakit tersebut berada pada kategori 2A dan diisolasi di rumah melalui Home Surveilance Order (HSO) digital, namun status kesihatan pesakit boleh merosot ke kategori 3 atau lebih dan memerlukan kemasukan ke hospital,” katanya.

Pada masa sama, ujar beliau, terdapat juga kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau memberi perangkaan semalam yang mana kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah sebanyak 2,048 kes.

Dari jumlah itu, 745 kes (36.4 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 serta 1,303 kes (63.6 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. – MalaysiaGazette