Suasana Bandar Renggam, Simpang Renggam, Johor.

SIMPANG RENGGAM – Penduduk Renggam yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang kecewa apabila mandat yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) gagal dilunaskan dengan baik oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Kegagalan itu menyebabkan Renggam yang terkenal sebagai ‘bandar koboi’ semakin ‘mati’ akibat jauh ketinggalan daripada arus perdana.

Rata-rata penduduk di Renggam berkata, banyak janji-janji yang ditaburkan oleh PH semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu tidak dilaksanakan menyebabkan pembangunan Bandar Belia Malaysia yang dirancang tidak seperti yang diharapkan.

Anak jati Renggam, Tuminah Ahmad, 60 berkata, sejak PH mengambil alih pentadbiran di kawasan ini tidak apa yang berlaku di sini.

“Sejak saya lahir di sini, Renggam memang tidak pernah diambl alih oleh mana-mana parti tetapi ketika PRU-14 yang lalu, ia telah jatuh kepada PH, menyebabkan penduduk di sini kecewa.

“Dalam tempoh 22 bulan itu, kita memang tidak nampak apa pun perubahan kerana manifesto mereka tidak dilaksanakan. Kalau kata ia satu penipuan mungkin juga sebab sampai sekarang tidak berjaya menghapuskan tol dan pinjaman PTPTN.

“Alhamdulilah apabila Barisan Nasional (BN) berada dalam tampuk Kerajaan Pusat, bandar ini hidup semula. Dulu ia seperti bandar mati,” katanya.

Tuminah Ahmad,

Dengan nada ceria, beliau menambah, projek keretapi laju yang dijangka beroperasi tidak lama lagi dapat menghidupkan bandar kecil ini nanti.

Beliau berharap kereta api laju yang akan melalui kawasan itu akan memberi tempias ekonomi, selain mengembalikan semula generasi muda ke Renggam.

”Kewujudan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) merupakan tarikan baharu bagi anak jati belia untuk kembali menetap di kawasan yang dikenali sebagai bandar bersejarah.

Sementara itu, anak jati Kampung Tengah Rengam, Kadir Kompol, 61, berkata, perumahan baharu dan peluang pekerjaan amat diperlukan di kawasan itu agar golongan belia di Renggam tidak lagi berhijrah untuk mencari sumber pendapatan mereka dari kawasan ini.

“Kita harap calon yang akan diberi mandat di DUN ini dapat membangungkan bandar Renggam yang sekian lama suram.

“Kalau boleh minta buka tawaran rumah mesra rakyat supaya anak muda kembali ke kampung dan bersama-sama membangunkan kampung ini,” ujarnya sambil menambah Renggam kehilangan orang muda selepas kilang getah dan kelapa sawit ditutup.

Ini menyebabkan golongan belia berhijrah ke Johor Bharu, Mersing atau Singapura untuk mencari peluang pekerjaan.

“Keadaan ini telah menyebabkan jumlah penduduk muda Renggam semakin berkurangan, justeru kita mahu kawasan ini dibangunkan seperti mana Simpang Renggam dan Ayer Hitam,” ujarnya.

Kadir Kompol

Kadir turut menambah, sewaktu PH memerintah di sini, kos peruntukkan untuk permohonan membina dan membaiki masjid di kampungnya telah dipotong.

Keadaan itu dilihat seperti berat sebelah dan tidak adil kerana sebelum ini sudah ada peruntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk membina masjid di kawasan itu dijanjikan pada PRU-14.

“Ketika PRU-13, calon kita di sini memang terbaik yang mana semua permohonan serta masalah diambil tindakan dengan segera. Contohnya kami perlukan sebuah masjid baharu. Ketika itu kita telah diberikan peruntukkan sebanyak RM1.5 juta namun apabila BN tewas, ianya telah dibatalkan.

“PH cuma beri sebanyak RM500,000 sahaja untuk ganti zink dan naik taraf, bagi kita jumlah ini tidak mencukupi, sekali gus menyebabkan rancangan untuk bina masjid baharu gagal dilaksanakan.

Kadir juga berharap isu-isu setempat ini dapat diselesaikan dengan segera memandangkan jalan berlubang akibat projek keretapi laju. – MalaysiaGazette