Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Hujan lebat dan aliran puing antara punca berlaku banjir serta kegelinciran tanah di kawasan Sungai Terengganu berhampiran Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud, Tasik Kenyir Ahad lalu.

Perkara itu dinyatakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berdasarkan siasatan yang dilakukan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Kata beliau, hasil siasatan itu mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan kejadian sebagaimana dakwaan segelintir pihak.

“Siasatan dijalankan pada 1 Mac lalu di sepanjang Sungai Terengganu berhampiran empangan berkenaan. Hasilnya, menunjukkan gelinciran tanah dan aliran puing bersaiz sederhana berlaku di kawasan cerun sungai tersebut.

“Gelinciran tanah itu menyebabkan kejadian tanah runtuh yang membawa sisa-sisa kayu, debris atau serpihan dan tumbuhan hanyut yang dikenali sebagai puing.

“Ia berlaku disebabkan faktor hujan lebat selama lima hari berturut-turut bermula 23 hingga 27 Februari yang mencecah 1,000 mililiter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Roslan Rani menafikan dakwaan sesetengah pihak konon berlaku aktiviti pembalakan secara haram di sekitar Tasik Kenyir sehingga membawa impak kemusnahan besar ketika banjir Ahad lalu.

Sebaliknya, tegas beliau, berdasarkan taklimat daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), situasi itu berlaku disebabkan gelinciran tanah hingga menyebabkan tanah runtuh berhampiran Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kenyir.

Katanya, ketika itu juga berlaku fenomena ‘kepala air’ yang turut menyebabkan banyak pokok berhampiran, sampah sarap yang lama, juga sisa kayu dahan dan ranting yang mati dihanyutkan ke sungai.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menjelaskan, gelinciran tanah dianggarkan bersaiz 100 meter panjang, 50 meter lebar dan tebal antara lima hingga 10 meter.

Ujar beliau, aliran puing yang bergerak dari puncak bukit hingga ke Sungai Terengganu pula ada yang mencapai sehingga 300 meter panjang.

“Mesyuarat penyelarasan pasca bencana telah dijalankan dan kerja pembersihan sisa kayu giat dilakukan.

“Pemantauan melalui udara dan rondaan dari semasa ke semasa juga dijalankan bagi mengawasi keadaan,” katanya. – MalaysiaGazette