Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam. Foto AFFAN FAUZI, 16 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Penerima vaksin primer Sinovac diwajibkan mengambil dos penggalak sebagai syarat utama masuk ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya telah dimaklumkan pembaharuan Prosedur Operasi Standard (SOP) daripada Jabatan Belia dan Sukan Negara yang mana penerima vaksin primer Sinovac perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

Jelasnya, selaras dengan SOP Am Sektor Sukan dan Rekreasi yang sedang berkuatkuasa di kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4, penganjur Liga Malaysia termasuk penonton dikehendaki mematuhi protokol kesihatan yang telah ditetapkan bagi individu yang telah lengkap vaksinasi sahaja seperti ketetapan semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Hari ini MFL telah menerima surat daripada Jabatan Belia dan Sukan Negara berhubung maklumat status vaksinasi bagi pegawai, pemain, petugas dan penonton bagi perjalanan Liga Malaysia pada tahun 2022.

“Ingin dimaklumkan bahawa bagi penerima vaksin primer Sinovac berusia 18 tahun ke atas dan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang menerima semua jenis vaksin perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

“Ini kerana tempoh masa yang ditetapkan sebelum ini iaitu 28 Februari lalu kini dilanjutkan sehingga 31 Mac ini di mana status vaksinasi lengkap akan ditukarkan kepada tidak lengkap sekiranya belum mendapatkan dos penggalak.

“Selain daripada itu, penerima lengkap vaksin Pfizer dan AstraZeneca tanpa suntikan dos penggalak yang berusia 60 tahun ke atas dikira status vaksinasi tidak lengkap dan sekiranya mereka masih tidak mengambil suntikan dos penggalak sehingga 31 Mac 2022, mereka tidak dibenarkan turun ke stadium sebagaimana individu lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan.

“Manakala hanya kanak-kanak umur 13 tahun ke atas dibenarkan hadir ke stadium jika lengkap dua dos vaksinasi,” katanya.

SOP kemasukan penonton ke stadium yang dikeluarkan oleh MFL adalah mengikut ketetapan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Fasa 4 di mana kuota kemasukan penonton bagi setiap perlawanan adalah 50 peratus daripada kapasiti stadium atau maksimum 20,000.

Berdasarkan ketetapan sebelum ini, hanya penonton yang lengkap vaksinasi serta dos penggalak dibenarkan masuk ke stadium.

MFL juga menggalakkan agar warga dewasa berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai masalah kesihatan atau penyakit kronik dan individu kontak rapat bergejala dinasihatkan agar tidak hadir ke stadium.

Buat masa ini selaras peredaran SOP semasa pihak kerajaan, sebarang aktiviti makan minum sepanjang berada di dalam stadium semasa separuh masa pertama atau sepanjang perlawanan adalah tidak dibenarkan. – MalaysiaGazette