Hishammuddin merasmikan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia dengan disaksikan oleh Saravanan di Mersing hari ini.

MERSING – Peluang pekerjaan akan bertambah sekiranya situasi politik di negeri Johor kembali stabil selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu selesai.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, penganjuran Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 hasil inisiatif kerajaan menawarkan peluang pekerjaan yang  berlebihan daripada apa yang ditagih oleh rakyat khususnya anak-anak muda.

Katanya, karnivel kerjaya berkenaan ada peluang yang menjamin kedudukan selesa dan menjamin kelangsungan sara hidup rakyat dengan menyasarkan 600,000 peluang pekerjaan di seluruh negara.

“Kita lihat setahun lebih ini tiada kestabilan politik di negeri Johor yang sangat cemerlang suatu ketika dahulu apabila pelaburan asing kurang sejak kebelakangan ini.

“Jika kita membuktikan dan mengembalikan semula kestabilan politik di negeri selatan ini pada Pilihan Raya Negeri 12 Mac ini, ia akan memberi keyakinan kepada para pelabur untuk bertapak di sini dan ia secara automatik akan menambah sendiri peluang pekerjaan kepada anak muda,” katanya selepas Program Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 julung kali diadakan di Mersing itu merupakan siri jelajah selepas pelancaran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di di Kuala Lumpur pada 19 Februari lalu.

Ia diadakan selaras dengan pengumuman peruntukan RM2 bilion dalam Bajet 2022 untuk menyediakan 600,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai industri di negara ini.

Bagaimanapun Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah itu berkata, kejayaan atau kegagalan inisiatif utama kerajaan untuk mencapai sasaran 600,000 peluang pekerjaan itu bergantung sepenuhnya kepada kerjasama jitu Keluarga Malaysia.

“Tiada gunanya kalau kita asyik mempersoalkan tentang peluang pekerjaan untuk mengurangkan kadar pengangguran tetapi tiada sokongan penuh dan ikhlas daripada rakyat jelata untuk menstabilkan politik yang menjadi komponen penting.

“Kita semua pihak kena berkelakuan ikhlas dan kerajaan, orang politik serta rakyat tiga pihak ini perlu menggabung tenaga meneruskan usaha ini untuk menjayakan objektif menjamin kerjaya masa depan yang sejahtera untuk anak muda kita.

“Apa yang saya lihat sekarang di semua kawasan Johor rakyat sudah mula sedar akan keperluan untuk menjamin kestabilan politik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Barisan Nasional (BN) berpengalaman memerintah negara selama 63 tahun bijak menyelesaikan masalah yang terbangkit.

“Namun di sebelah sana (pembangkang) tidak sampai tiga tahun sudah berpecah belah menyusahkan rakyat.. Saya percaya rakyat Bangsa Johor sudah mula sedar dan mereka cukup matang kali ini untuk buat pemilihan yang baik untuk negari dan ia akan jadi mesej jelas seluruh negara kelak,” katanya.

Ditanya peluang BN untuk menang di Johor khususnya di DUN Endau dan Tenggaroh, Saravanan optimis dan tidak risau mengenainya.

“Pada PRU-14 lalu yang dianggap satu pemilihan paling terkesan di negara ini, kita (BN) masih boleh menang di Mersing maka saya tak risau kali ini.

“Lagi pun sejak selepas hari penamaan calon saya dapat melihat sokongan pengundi di sini sangat memuaskan dan begitu juga di kawasan lain.

“Ia bukan sekadar sokongan meningkat tetapi juga mereka mula yakin dan menyedari bahawa hanya BN yang boleh menjamin kesejahteraan di negara ini atau pun memimpin dengan baik negara ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette