Friday, December 13, 2024
Home Utama Sempadan negara dibuka tidak lama lagi, boleh pulang Aidilfitri nanti – PM

Sempadan negara dibuka tidak lama lagi, boleh pulang Aidilfitri nanti – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan gimik pelancaran sambil diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (kiri) pada Majlis Pelancaran Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Angsana Johor Bahru Mall, Johor. Foto AFFAAN FAUZI, 04 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri memberi bayangan baharu bahawa sempadan negara akan dibuka dalam masa terdekat ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi harapan itu ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Plaza Angsana di sini hari.

“Hari raya nanti, ramai yang tunggu ini (sempadan dibuka). Insya-Allah kita akan buka sempadan negara tidak lama lagi,” katanya ringkas.

Turut menghadiri majlis pelancaran itu adalah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Sebelum itu, Ismail Sabri berkata, bagi merancakkan semula kegiatan ekonomi dan pelancongan khususnya di Johor, Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat dengan Singapura mulai 21 Januari lalu.

Jelas beliau, ia inisiatif bagi memudahkan urusan pertemuan semula keluarga yang terpisah akibat pandemik Covid-19.

“Saya difahamkan seramai 200,000 Keluarga Malaysia berulang alik antara Singapura dan Johor dan mereka tidak perlu lagi menjalani kuarantin wajib di rumah kerana telah melaksanakan ujian saringan kesihatan sebanyak dua kali iaitu semasa bertolak dari negara luar dan semasa ketibaan di Malaysia.

“Selain Singapura dan Indonesia, kerajaan dalam proses melaksanakan VTL darat dengan Brunei dan Thailand dan dengan pembukaan semula sempadan, ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tak bersua muka dapat pulang terutama semasa Hari Raya pada Mei nanti,” katanya.

Ismail Sabri Yaakob menyampaikan replika cek kepada penerima sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia sambil diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (dua kiri) pada Majlis Pelancaran Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Angsana Johor Bahru Mall, Johor. Foto AFFAAN FAUZI, 04 MAC 2022.

Sementara itu, Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia iaitu program kembara ke seluruh negara memilih Johor sebagai negeri pertama untuk mengadakannya di luar Kuala Lumpur.

Menerusi Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, kementerian- kementerian melalui agensi masing-masing disaran melakukan penglibatan (engagement) seperti menyelesaikan isu-isu yang tertangguh di peringkat negeri sebulan sebelum hari jelajah yang dirancang.

Hasil atau pencapaiannya kemudian dinyatakan semasa Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang dijadualkan di negeri berkenaan.

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia juga bertujuan memudahkan rakyat di setiap negeri untuk mendapatkan maklumat terus daripada agensi Kerajaan Persekutuan menerusi perkhidmatan kaunter bergerak yang disediakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast