Shariman (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Langkawi, Kedah hari ini.

LANGKAWI – Polis melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dan heroin di daerah ini selepas menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih di Kampung Huma, Ayer Hangat di sini, semalam.

Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi menyerbu sebuah rumah pada jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pasangan kekasih berusia 27 dan 41 tahun itu ditahan dalam rumah manakala rakan mereka berusia 36 ditahan di luar kediaman tersebut.

Shariman.

“Hasil pemeriksaan dalam kediaman tersebut membawa kepada penemuan dadah jenis heroin lebih 4 kilogram manakala syabu lebih 775 gram.

“Nilai rampasan kedua-dua dadah itu dianggarkan berjumlah RM73,600.

“Selain itu kita turut merampas sebuah kereta jenis Honda City bernilai RM35,000 dan secara keseluruhan nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM108,600,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Shariman, hasil siasatan lanjut mendapati tiga individu itu aktif dalam pengedaran dadah sejak beberapa bulan lalu dan dadah yang dirampas untuk pasaran tempatan.

“Ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamin.

“Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 13 Mac depan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” ujar beliau. – MalaysiaGazette