Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid

IPOH – Polis telah merakam percakapan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung satu konsert di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya di sini, yang tular menerusi rakaman video menunjukkan orang awam berkumpul beramai-ramai tanpa kebenaran.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihak penganjur dan ahli buskers di tempat kejadian telah diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.

“Pemilik akaun TikTok @acik_kesepian yang memuat naik video itu juga telah diambil keterangan pada petang tadi,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti individu-individu yang terlibat dalam rakaman video berkenaan dan akan merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya setelah siasatan selesai.

Semalam, polis menerima laporan mengenai kejadian yang tular menerusi Facebook Viral Perak dengan memetik sumber daripada pemilik akaun TikTok @acik_kesepian dan mendapat perhatian masyarakat umum.

Siasatan awal mendapati penganjur acara itu tidak memohon kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak dan polis daerah Ipoh.

Pihak penganjur dan pengunjung juga didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal serta sebahagian pengunjung tidak memakai pelitup muka.

Kes disiasat di bawah Seksyen 22(B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan. – Bernama