Gambar hiasan.

MERSING – Polis telah menerima dua laporan polis berhubung insiden mensabotaj dan merosakkan bendera parti bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Dewan Undangan Negeri (DUN)  Tenggaroh.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kedua-dua insiden itu didakwa berlaku di Felda Nitar dalam tempoh berkempen bermula 26 Februari lalu.

Siasatan telah dimulakan sejurus selepas polis menerima kedua-dua laporan berkaitan insiden tersebut.

“Polis Mersing telah menerima dua laporan polis dari parti politik berkenaan jenayah vandalisme bendera parti bertanding pada PRN kali ini di kawasan Nitar itu dikatakan telah dirosakkan.

“Kertas siasatan telah dibuka berkaitan laporan polis itu dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui pagi ini.

Cyril Edward berkata demikian selepas hadir memantau dan melaksanakan tanggungjawab mengundi awal pagi tadi.

Dalam perkembangan sama, beliau juga menambah, siasatan sedang diteruskan dalam kes berkenaan dan belum memanggil mana-mana individu untuk membantu siasatan.

“Setakat ini siasatan masih berjalan dan kami masih belum panggil mana-mana individu dari parti bertanding untuk dirakam keterangan bantu siasatan lanjut kes ini,” ujarnya.

Justeru katanya, sepanjang proses berkempen selepas penamaan calon pada 26 Februari lalu, tiada sebarang insiden buruk berlaku di daerah tersebut membabitkan DUN Endau dan juga DUN Tenggaroh.

“Kempen pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang insiden buruk dan polis sentiasa memantau keadaannya terkawal lagipun penduduk di Mersing sangat berdisiplin serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada anggota keselamatan sepanjang musim berkempen,” tegasnya.- MalaysiaGazette