Pada muka surat 48 buku manifesto PH, Kita Boleh, berhasrat meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan bagi memastikan sebarang percubaan membunuh diri tanpa mengira bangsa dan agama sudah tidak lagi menjadi kesalahan.

GEORGE TOWN – Tindakan pantas dua jurugambar, masing-masing dari The Star dan The Sun, berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada cuba terjun Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 3.4 menghala pulau, hari ini.

Jurugambar The Sun, Masry Che Ani, 48, berkata, dia bersama Ahmad Zhafaran Nasib, 38, dalam perjalanan dari Seberang Jaya untuk mengambil gambar di Kaunter Imigresen di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum ternampak kelibat seorang wanita sedang memanjat tembok jambatan.

“Bimbang sesuatu buruk berlaku kami memberhentikan motosikal masing-masing di lorong kecemasan sebelum cuba mendekati wanita berusia 37 tahun itu.

Masry cuba menarik mangsa cuba bunuh d diri di atas Jambatan Pulau Pinang.

“Ketika cuba mendekatinya kami dengar suara wanita itu sedang menangis sebelum cuba memujuknya untuk turun dari tembok terbabit selain menjelaskan tindakan terjun jambatan itu bukan cara menyelesaikan masalah.

“Selang beberapa minit mangsa enggan turun, saya dan jurugambar The Star (Ahmad Zhafaran) bertindak menarik wanita itu turun,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Masry, sesi memujuk wanita yang dikatakan mengalami tekanan disebabkan masalah keluarga itu dilakukan oleh Ahmad Zhafaran selama 45 minit manakala dia menelefon PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk bantuan lanjut.

Ahmad Zhafaran memujuk mangsa yang dikatakan mengalami tekanan perasaan akibat masalah keluarga.

“Sebaik pihak PLUS tiba di lokasi kami serahkan kepada mereka untuk tindakan lanjut sebelum bergerak ke lokasi tugasan semula.

“Apa yang berlaku hari ini memang di luar jangkaan kerana sebagai pihak media kami selalu buat liputan berhubung kes bunuh diri di jambatan dan ini merupakan kali pertama saya sendiri terlibat dalam menyelamatkan nyawa seseorang.

“Pengalaman bersama rakan saya hari ini tidak akan dilupakan dan kami harap wanita yang diselamatkan itu berjaya keluar daripada masalah yang membelenggunya,” kata Masry. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast