Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Ceramah Umum BN sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di PDM Parit Keroma, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 MAC 2022. Hasni MB
Ahmad Zahid Hamidi

ISKANDAR PUTERI – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hanya Datuk Seri Hasni Mohammad dilantik sebagai menteri besar sekiranya mereka diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Penegasan itu sekali gus menafikan dakwaan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa BN akan melantik calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi sebagai calon menteri besar.

Presiden UMNO menyifatkan kenyataan dibuat Ketua Penerangan Bersatu itu adalah untuk melaga-lagakan beliau dengan pemimpin UMNO di negeri ini.

“Kononnya ada seorang ketua penerangan sebuah parti yang tiada ada masa depan mengatakan saya memberi dokongan kepada calon DUN Rengit untuk jadi Menteri Besar (MB), orang itu mimpi ke apa ni?

“Saya umum bahawa poster boy kita, calon MB kita atas perkenan tuanku (Sultan Ibrahim Sultan Ismail) adalah Datuk Seri Hasni Mohammad. Tidak ada lain, apa yang kita cakap itulah yang kita akan buat.

“Kita tahu bahawa kuasa melantik MB itu di bawah kuasa Tuanku tetapi jangan lagakan saya kononnya saya mahukan Mohd. Puad, lagakan saya kononnya saya nak orang itu nak orang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program ramah mesra bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di bilik gerakan Parlimen Iskandar Puteri, Gelang Patah,
hari ini.

Turut hadir ialah calon kerusi DUN Skudai, Lim Soon Hai dan calon kerusi DUN Kota Iskandar, Pandak Ahmad.

Terdahulu, Wan Saiful dalam Facebook miliknya mendakwa, Ahmad Zahid mahu meletakkan calonnya sendiri iaitu Mohd. Puad sebagai Menteri Besar Johor jika BN menang PRN dan berjaya membentuk kerajaan negeri.

“Khabarnya, antara hujah yang digunakan adalah sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dilantik sendiri oleh Zahid, dia boleh membawa UMNO Johor lebih rapat dengan agenda Presiden UMNO berbanding Hasni.

“Puad dikatakan telah menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Zahid dan Najib, maka sekarang adalah masa untuk menerima ganjaran,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, BN tetap dengan pendirian untuk memilih Hasni seperti yang dipersetujui kerana prestasi yang ditunjukkan beliau sebelum ini semasa Menteri Besar Johor.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, dalam tempoh yang singkat, Hasni berjaya melakukan pelbagai transformasi penting kepada bangsa Johor secara keseluruhan di negeri ini.

Jelasnya, persetujuan untuk melantik Hasni bukan keputusan beliau seorang tetapi sudah dibawa dalam mesyuarat MT dan biro politik UMNO negeri sebelum dipersetujui secara sebulat suara.

Tambahnya, keyakinan yang ditunjukkan BN  tidak ada pada gabungan parti pembangkang yang tidak berani menamakan calon Menteri Besar Johor mereka.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.