Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama penduduk sekitar Felda ketika tiba di Sekolah Kebangsaan Felda Lok Heng untuk menghadiri Majlis Penyampaian Geran Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Komuniti Sejahtera Malaysia di Kompleks Sukan Felda Lok Heng Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 09 MAC 2022

MERSING – Kerajaan meluluskan sebanyak 3,000 tapak rumah baharu dengan peruntukan dana sebanyak RM60 juta bagi generasi kedua Felda di negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelulusan itu bukti kerajaan  prihatin dan tidak pernah meminggirkan golongan generasi baharu Felda dari arus pembangunan negara.

“Hari ini, saya ingin mengumumkan berita gembira buat warga Felda. Sukacita diumumkan kerajaan telah meluluskan 3,000 tapak rumah generasi kedua di Johor.

“Bagi tujuan itu kerajaan telah menyediakan peruntukan dana berjumlah RM60 juta bagi dana pembangunan infrastruktur projek ini,” katanya ketika menyempurnakan Tranformasi Perladangan Felda di Padang Awam Felda Endau, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Sadique dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamad Said dan Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.

Tambah beliau, bagi tujuan pembangunan perumahan generasi baharu Felda ini, separuh daripada dana ini akan diperuntukkan oleh kerajaan negeri manakala bakinya berupa dana padanan daripada Felda.

Katanya, bagi belia Felda yang sukar memiliki rumah kerana ketiadaan slip gaji pekerjaan atau perniagaan, perkara itu diatasi dengan skim jaminan kredit kepada generasi baharu anak Felda yang dijamin kerajaan.

 

Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique (kiri) menyampaikan replika cek kepada penerima geran bagi KRT Negeri Johor pada Majlis Penyampaian Geran Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Komuniti Sejahtera Malaysia di Kompleks Sukan Felda Lok Heng Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 09 MAC 2022

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut mengumumkan  Tabung Usahawan Belia Felda dengan dana permulaan RM10 juta daripada Felda untuk membantu menyediakan modal perniagaan bagi anak muda.

“Dana ini berupaya melonjakkan taraf sosioekonomi generasi baharu Felda, selain menjadi pemangkin aktiviti ekonomi di kawasan rancangan Felda termasuk pemerkasaan ekonomi digital.

“Saya yakin menerusi jalinan padu antara peneroka dan generasi baharu sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah dalam Felda, saya yakin Felda akan mampu berdepan dengan segala cabaran dan kembali utuh seperti zaman kegemilangannya sebelum ini,” tegasnya.

Menyedari keadaan infrastruktur yang memerlukan penambahbaikan, Ismail Sabri juga mengumumkan peruntukkan RM700 juta termasuk RM500 juta bagi projek naik taraf jalan kampung, sistem saliran, dan perparitan.

Selain itu, katanya, peruntukkan turut disalurkan bagi projek naik taraf dan menyelenggara jalan pertanian kebun peneroka berjumlah RM200 juta.

Perdana Menteri dalam masa sama mengucapkan tahniah kepada FGV Holdings Berhad atas pencapaian keuntungan RM1.17 bilion bagi tahun kewangan 2021 selain menyifatkan kejayaan itu mampu memberikan impak positif kepada Felda yang memiliki 82 peratus saham FGV. – MalaysiaGazette