EMPAT hari lagi 2,574,835 pengundi biasa Johor akan memilih kerajaan negeri yang baharu sekaligus mendapat menteri besar yang baharu juga.

Tiga nama disebut-sebut dengan satu telah pasti dicalonkan sebagai menteri besar.

Setakat ini BN secara rasmi menamakan semula bekas Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad sebagai calon.

PH dan PN belum buat pengumuman secara rasmi. Cuma disebut-sebut Dr. Maszlee Malik akan menjadi calon bagi PH. Manakala Datuk Dr. Sahruddin Jamal hampir pasti calon bagi PN.

Layakkah mereka untuk memimpin Johor?

Maszlee Malik dilihat gagal

Maszlee masih belum diumumkan secara rasmi sebagai calon MB PH.

Dr. Maszlee Malik

Bagaimanapun nama bekas Menteri Pendidikan zaman pemerintahan PH itu disebut-sebut oleh beberapa pihak untuk memimpin Johor sekiranya gabungan DAP dan PKR berjaya membentuk kerajaan negeri.

Pensyarah Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, Maszlee  mempunyai agenda dan misi dan layak untuk jawatan tersebut.

Dr. Awang Azman

Bagaimanapun menjadi satu persoalan, visi yang akan dikemukan oleh Maszlee jika berpeluang memimpin Johor akan diterima atau tidak oleh rakyat.

“Sejauh mana pemahaman rakyat, pemahaman pengundi terhadap visi beliau. Ada yang melihat visi dikemukakan Maszlee terlalu jauh atau dilihat kurang realistik. Pandangan beliau dilihat lebih ke hadapan.

“Dari segi latarbelakang pendidikan, dari segi pengalaman beliau ada. Cuma sejauhmana visi beliau dapat diharmonikan dengan keperluan negeri Johor,” kata Dr. Azman Awang.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Jamaie Hamil pula berpendapat, Maszlee dilihat sebagai gagal apabila diberikan jawatan sebagai Menteri Pendidikan sebelum ini.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, menurut beliau, masih tercalit dengan isu keyakinan daripada rakyat.

“Maszlee dari segi ketokohan, dia mengkritik bagus, dia memberi pandangan bagus tetapi bila dia dilantik, duduk dalam jawatan itu dia gagal merealisasikan apa yang dia katakan.

“Dia ini mungkin seorang yang idealis. Ada idea yang bagus tetapi kesempatan yang diberikan tak memberikan keyakinan kepada orang untuk meletakkan harapan kepada dia,” kata Dr. Jamaie.

Tambahnya, Maszlee yang baru menyertai PKR tiga bulan lalu mungkin juga akan mengundang keraguan dalam kalangan pengundi.

Malah mungkin ada tentangan daripada kalangan pemimpin dan ahli PKR jika jawatan MB diserahkan kepada beliau.

“Apabila nak mencalonkan orang yang tak jelas masuk ke dalam parti PKR, dalam masa dekat pilihan raya, pengundi akan ragu.

“Lebih-lebih lagi beliau pernah diberi jawatan kanan dalam Kabinet dulu tetapi orang nampak dia gagal,” menurut Jamaie.

Maszlee akan bertanding di DUN Layang-Layang.

Sahruddin kurang berjaya tapi ada ketokohan

Sharuddin yang disebut-sebut menjadi calon MB bagi PN pula dilihat kurang berjaya ketika menjawat jawatan tersebut kerana tempoh perkhidmatan yang pendek iaitu kurang setahun.

Calon Perikatan Nasional (PN) N.07 Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal hadir pada hari penamaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di IKTBN Pagoh, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2022.
Sahruddin Jamal

Bagi Dr. Awang Azman, calon PN DUN Bukit Kepong itu kurang pengalaman.

Dia dilihat kurang berjaya menjadi MB sebab dari segi pengalaman beliau yang dilihat agak kurang berbanding dengan Hasni yang pernah jadi ahli Parlimen, pernah jadi ADUN, pernah jadi setiausaha politik.

“Yang menjadikan pengalaman Hasni lebih banyak berbanding Sharuddin yang dianggap terlalu baharu dalam politik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dr. Jamaie Hamil

Sementara Dr. Jamaie pula berpendapat, ramai yang ragu terhadap Sharuddin ketika beliau mula-mula dilantik sebagai MB pada 14 April 2019. Ini kerana Shahruddin masih muda.

Bagaimanapun beliau menunjukkan ketokohannya selepas dilantik dan Sharuddin juga dilihat sebagai bukan seorang yang suka berpolitik ketika mentabir.

“Dari segi ketokohan memang dia ada. Dia jenis yang turun padang. Sekarang tak nampak politiking dia, cantas orang sana sini, mungkin kerana dia datang dari parti yang baru dan kecil.

“Kalau dia datang dari UMNO, mungkin kalau sudah berkuasa lima tahun 10 tahun, orang akan nampak sepak terajang dia.

“Peluang jadi MB kalau Bersatu menang mungkin dia jadi calon tetapi saya tidak fikir boleh buat kejutan,” katanya.

Kepimpinan Hasni diterima baik

BN tidak tersilap untuk menamakan dan meletakkan semula Hasni sebagai calon MB.

hasni mohammad
Hasni Mohammad

Bagi penganalisis, ketokohan Hasni sebagai MB diperlihatkan ketika beliau mentadbir Johor selama dua tahun sebelum ini.

“Hasni ini memang terbukti apabila beliau menjadi MB, kita lihat tidak ada isu dan beliau dapat bekerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang.

“Maksudnya kepimpinan Hasni itu dapat diterima baik oleh rakyat dan beliau melaksanakan dasar dengan lebih baik,” kata  Dr. Awang Azman ringkas.

Sementara Dr. Jamaie berkata, Hasni tidak dapat melaksanakan tugasnya dengan cemerlang sebelum ini kerana mempunyai majoriti yang amat tipis dengan kelebihan satu kerusi sahaja.

“Beliau merupakan seorang jurutera dari segi pendidikan tinggi. Saya nampak dia bukan seorang politiking, hendak main politik.

“Dari segi apa yang sudah dilakukan selama menjadi MB nampak agak baik, walaupun tidak begitu cemerlang.

“Kerana apa? Sebab waktu jadi MB itu majoriti hanya melebihi satu kerusi sahaja. Jadi tak banyak benda yang boleh dilakukan,” kata Dr. Jamaie.

Menurut Dr. Jamaie, Hasni mengambil tindakan berani membubarkan DUN kerana yakin BN akan menang semula dengan majoriti yang lebih besar.

Kedua-dua penganalisa berpandangan pencalonan kesemua mereka tidak akan ditolak oleh Istana Johor jika dipilih menjadi MB.

Ini kerana ketiga-tiga calon itu tidak mempunyai isu dengan pihak Istana dan mempunyai hubungan yang baik dengan sultan.

Sokongan Istana Johor amat diperlukan bagi membolehkan seseorang dipilih sebagai MB di negeri itu.- MalaysiaGazette