KUALA LUMPUR – Langkah atau strategi meletakkan Malaysia memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini disifatkan sebagai bertepatan untuk terus memacu perniagaan dan ekonomi, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Dalam satu kenyataan hari ini, FMM berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa untuk pelancong yang lengkap vaksin pada masa ini juga amat dialu-alukan dan disokong sepenuhnya kerana dapat memudahkan pergerakan modal insan bagi tujuan kerja dan perdagangan yang menyuntik impak positif ke arah pemulihan industri selain membantu menangani pengangguran akibat COVID-19.

“Keputusan untuk membenarkan pergerakan sempadan bagi mereka yang lengkap vaksin tidak hanya merancakkan lagi aktiviti pelancongan tetapi turut merangsang kegiatan di sektor pembuatan.

“Sejajar dengan sebahagian daripada usaha untuk menghidupkan semula perniagaan, banyak syarikat yang mula meninjau peluang perniagaan, mempelbagaikan perniagaan dan produk serta pasaran baharu,” kata Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai.

Menurut FMM, pembukaan semula sempadan antarabangsa akan membolehkan kakitangan terbabit melakukan perjalanan untuk menemui pembeli dan mempromosi produk masing-masing selain membolehkan rakan niaga/pelanggan, vendor dan pakar teknikal untuk hadir secara fizikal bagi tujuan rundingan dan bagi memulakan projek-projek terbabit.

Malah, Tinjauan Keadaan Perniagaan Separuh Kedua 2022 FMM-Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menunjukkan responden menjangkakan pada 2022, peningkatan permintaan luar diunjur dapat melonjakkan pemulihan sektor pembuatan dengan lebih ketara. – MalaysiaGazette