Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat pagi ini diberitahu, kerajaan Malaysia telah melantik peguam di Sepanyol dan Perancis mewakili negara ini bagi menangani segala tuntutan pampasan RM62.59 bilion oleh waris Sultan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bahkan, Malaysia tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu.

Ini kerana, katanya, Malaysia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat, tambahan pula identiti penuntut diragui dan belum disahkan.

Berikut jawapan penuh Menteri kepada soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Papar dari Pakatan Harapan (PH), Ahmad Hassan:

Isu yang dibangkitkan ini adalah susulan daripada keputusan Final Award yang diberikan oleh Dr. Gonzalo Stampa, iaitu seorang Penimbang Tara yang dilantik oleh Mahkamah Madrid, Sepanyol pada 22 Mei 2019 yang telah membuat keputusan Timbang Tara di Perancis pada 28 Februari 2022, yang meminta supaya kerajaan Malaysia membayar sebanyak AS$14.92 bilion kepada warga Filipina yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu yang dilaporkan di akhbar tempatan.

Harus diingatkan juga, pelantikan Dr. Stampa ini telah kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Madrid pada 29 Jun 2021.

Saya ingin menjelaskan beberapa perkara penting yang telah berlaku dalam lipatan sejarah berkenaan isu ini.

Pada 22 Januari 1878, dua perjanjian dimeterai antara Sultan Mohamet Jamal Al Alam (Sultan Sulu) dengan Baron de Overbeck & Alfred Dent bertujuan untuk menjaga kepentingan mereka di Sabah.

Sepertimana kita semua sedia maklum, pencerobohan tentera Kesultanan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah telah berlaku pada 12 Februari 2013, yang mana telah mengorbankan seramai 10 wira negara dan susulan daripada serangan itu, kerajaan Malaysia menghentikan serahan wang ihsan kepada waris Kesultanan Sulu.

Lanjutan daripada tindakan tersebut, firma guaman yang mewakili warga Filipina yang mengaku sebagai waris Sultan Sulu (Penuntut) memohon rundingan semula bayaran wang ihsan di bawah Perjanjian 1878 dan memfailkan permohonan Superior Court of Justice di Madrid, Sepanyol (Mahkamah Madrid) untuk melantik penimbang tara pada 31 Januari 2018 dan Mahkamah Madrid, Sepanyol memutuskan untuk melantik penimbang tara dan Dr. Gonzalo Stampa dilantik pada 22 Mei 2019.

Pada 30 Julai 2019, satu notis timbang tara diserahkan kepada kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri dengan anggaran tuntutan melebihi AS$32 bilion.

Ingin ditekankan bahawa kerajaan tidak berdiam diri walaupun tidak mengiktiraf tuntutan tersebut. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan tindakan perundangan sewajarnya:

(1) Kes telah difailkan di Mahkamah Tinggi Sabah yang mana penuntut tidak hadir ke prosiding tersebut.

Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020 dan mahkamah memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara, Malaysia tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya dan penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan.

(2) Keputusan Mahkamah Tinggi Sabah tersebut telah dibawa ke Mahkamah Madrid, Sepanyol untuk diiktiraf dan dikuatkuasakan bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol. Susulan itu, partial award on jurisdiction dikeluarkan oleh Penimbang Tara pada 25 Mei 2020 telah diketepikan.

(3) Pada 29 Jun 2021, atas permohonan kerajaan, Mahkamah Madrid telah membatalkan pelantikan Dr. Stampa sebagai penimbang tara dan semua tindakan dan keputusan yang dibuat oleh Dr. Stampa adalah terbatal. Mahkamah Madrid pada 13 Oktober 2021 memutuskan partial award on jurisdiction yang dikeluarkan oleh Dr. Stampa bertarikh 25 Mei 2021 adalah terbatal (null and void).

Bagaimanapun, penuntut telah membawa partial award on jurisdiction tersebut ke Perancis sebelum 13 Oktober 2021 bagi memintas keputusan Mahkamah Madrid tersebut.

Pada 29 September 2021, Mahkamah Perancis, tanpa mengetahui keputusan Mahkamah Madrid yang telah membatalkan pelantikan dan keputusan Dr. Stampa, telah mengeluarkan exequatur order yang mengiktiraf partial award on jurisdiction bertarikh 25 Mei 2020 tersebut.

Berdasarkan exequatur order tersebut, Dr. Stampa telah memindahkan tempat (seat) timbang tara dari Madrid ke Paris bagi meneruskan prosiding timbang tara tersebut.

Penuntut pada 5 November 2021 telah memfailkan permohonan Rayuan Perlembagaan ke Mahkamah Perlembagaan di Sepanyol untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid bertarikh 29 Jun 2021.

Sebagai bantahan kepada tindakan Penimbang Tara terhadap ketidakpatuhan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid, ketidakaturan proses, ketidakadilan serta penghinaan kepada kedaulatan undang-undang, kerajaan Malaysia memfailkan aduan jenayah (criminal complaint) terhadap Dr. Stampa kepada Peguam Negara Sepanyol pada 14 Disember 2021.

Kerajaan Malaysia juga telah memfailkan rayuan untuk membatalkan exequatur order bertarikh 29 September 2021 dan juga permohonan menggantung pelaksanaannya.

Pada 16 Disember 2021, Mahkamah Rayuan Perancis membenarkan permohonan kerajaan Malaysia bagi penggantungan exequatur order yang dikeluarkan pada 29 September 2021. Rayuan yang difailkan oleh kerajaan Malaysia belum diputuskan oleh Mahkamah Rayuan di Paris Perancis.

Bertentangan dengan penggantungan exequatur order yang telah diberikan oleh Mahkamah Perancis, penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa perintah exequatur tersebut berkuat kuasa dan final award hendaklah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis.

Dr. Stampa bersetuju dengan permohonan penuntut dengan tidak mengendahkan kesan penggantungan exequatur order tersebut.

Tanpa menghiraukan segala arahan serta keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Madrid dan Mahkamah Rayuan Perancis, Dr. Stampa telah membuat final award tersebut.

Bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Papar, ingin saya jelaskan bahawa final award yang dikeluarkan oleh Dr. Stampa (penimbang tara yang mana lantikannya telah dibatalkan oleh Mahkamah Madrid pada 29 Jun 2021) adalah tidak sah dan telah diputuskan dengan sewenang-wenangnya serta tidak berlandaskan undang-undang.

Memandangkan lantikan Dr. Stampa telah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang, kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan dan prosiding timbang tara tersebut.

Kerajaan Malaysia, melalui Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar Negeri, telah melantik peguam di Sepanyol dan Perancis untuk mewakili Kerajaan bagi tujuan menangani segala Tuntutan yang dibuat terhadap Malaysia. Malaysia tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu kerana Malaysia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat, tambahan pula identiti penuntut diragui dan belum disahkan.

Namun, ingin ditekankan sekali lagi bahawa kerajaan tidak berdiam diri, tetapi telah pun mengambil tindakan sewajarnya seperti yang telah saya nyatakan untuk memastikan kedaulatan negara tidak dicabuli melalui tindakan perundangan di Madrid, Sepanyol dan di Paris, Perancis.

Kerajaan sentiasa peka dan bersedia untuk mencabar sebarang tindakan penguatkuasaan keputusan final award yang tidak sah tersebut di bawah New York Convention sekiranya dilaksanakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana jua bagi memastikan kepentingan Kerajaan sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast