Penang FC.

KUALA LUMPUR – Kegagalan untuk mengekalkan persembahan yang sama pada separuh masa pertama membantutkan hasrat Penang FC untuk meraih kemenangan di Stadium Bandaraya, pada Selasa apabila diikat 1-1 oleh Melaka United.

Pengendali Penang FC, Tomas Trucha berkata, situasi itu terjadi selepas pemain gantian yang dibawa masuk pada separuh masa kedua gagal memberikan impak diharapkan.

Justeru, dia akui sangat kecewa kerana gagal menghadiahkan tiga mata penuh kepada penyokong Penang FC pada aksi pertama di laman sendiri.

“Selepas mendapatkan gol pertama, saya rasa kami boleh mengakhiri babak pertama dengan mendahului 1-0 atau 2-0 kerana ada situasi yang saya rasa kami patut diberi sepakan penalti.

“Kemudian, kami ada memberikan sepakan penjuru yang tidak sepatutnya sehingga membuka ruang kepada lawan mendapatkan jaringan.

“Di separuh masa kedua, saya harap pemain gantian seperti Jafri Firdaus Chew dan Christian Rontini dibawa masuk boleh memberikan kesan tetapi kita hilang penguasaan di bahagian tengah.

“Saya memang tidak gembira dengan satu mata ini kerana bermain di laman sendiri di hadapan penyokong dan kami tidak dapat berikan apa yang mereka mahukan,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Danial Ashraf Abdullah membuka jaringan buat Penang pada minit ke-27 sebelum disamakan oleh Melaka United menerusi jaringan sendiri Abdul Latiff Suhaimi pada minit 41.

Keputusan itu bermakna kedua-dua pasukan masih gagal mencapai sebarang kemenangan selepas dua aksi Liga Super.

Pengendali Penang FC, Tomas Trucha.

Sementara itu di kem Melaka United, ketua jurulatihnya, Risto Vidakovic, tetap puas menggenggam satu mata sambil berasakan pasukannya sudah mula perlahan-lahan mendapatkan rentak.

“Kami bermain lebih baik di separuh masa kedua dan terlepas beberapa peluang untuk memenangi perlawanan.

“Sudah tentu kami mahukan tiga mata namun berdasarkan persiapan pasukan yang sedikit lewat malah 10 hari sebelum liga bermula, saya tetap gembira dengan persembahan pemain terutama pergerakan mereka dengan bola.

“Keyakinan dalam pasukan ini belum begitu tinggi dan kami kena menang bagi menyuntik semangat pemain-pemain dalam harungi perjalanan musim ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast