JOHOR BAHRU – Peruntukan subsidi berjumlah RM528.52 juta yang diumumkan oleh kerajaan pada Februari lalu bagi telur dan ayam hidup sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) dijangka tidak lagi relevan kepada para penternak.
Ini kerana, harga dedak terus meningkat susulan perang antara Rusia-Ukraine yang mendorong harga komoditi bijian terus melonjak ke paras yang tidak pernah disangka-sangka.
Sumber berkata, pada masa sekarang harga dedak sudah melonjak kepada RM1,700 hingga RM1,800 bagi setiap tan metrik berbanding RM1,400 sekitar Ogos.
Harga RM1,400 itu juga merupakan kenaikan 70 peratus berbanding RM800 sebelum ini.
Kenaikan ini walaupun menakutkan penternak-penternak tempatan tetapi ia sudah dijangka selepas hubungan Rusia dan Ukraine tegang sebelum berlakunya perang.
Tambahan pula Rusia dan Ukraine mengeluarkan satu pertiga pengeluaran bijirin dunia.
“Apabila berlaku perang, sudah tentu harga bijirin meningkat, sekali gus memberi impak kepada harga dedak untuk makanan ayam. Kos dedak naik bermakna kos operasi penternak naik.
“Sekilogram ayam hidup memerlukan 1.78 kilogram dedak dan ayam matang biasanya mempunyai berat 2.5 kilogram,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata, kebimbangan penternak ini sudah dinyatakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini dengan harapan satu pendekatan terbaik dapat diambil supaya situasi menang-menang antara penternak dan kerajaan dapat dicapai.
Ini kerana walaupun subsidi diberikan tetapi apabila trend kenaikan harga dedak berterusan maka beban yang ditanggung penternak sebelum ini kembali sama semula.
“Jadi persoalan kami, sampai bila kerajaan mampu memberi subsidi kepada pengguna kerana ia melibatkan jumlah yang besar, sedangkan bukankah lebih baik peruntukan subsidi diberikan kepada golongan miskin tegar.
“Sewajarnya harga ayam ditentukan pada harga pasaran memandangkan tidak ada siapa tahu apa akan berlaku seterusnya,” ujar beliau.
Sumber berkata, situasi yang berlaku ini bukan luar biasa kerana satu dunia berdepan dengan hiper inflasi.
Di Amerika Syarikat contohnya, inflasi melonjak kepada 7.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dan harga ayam di sana melonjak sebanyak 25%.
“Apa yang berlaku ini adalah satu situasi yang sama berlaku pada tahun 1923, yang mana kenaikan harga di luar kawalan. Keadaan ini membawa kepada keadaan pengguna ada duit tetapi tidak ada barang untuk dibeli. Inilah situasi dunia sekarang kerana krisis makanan berlaku,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, sumber berkata, pada masa sekarang harga ayam yang munasabah adalah RM10 sekilogram berbanding RM8.90 sekilogram sekarang.
Harga ini mengambil kira kenaikan harga di peringkat ladang sebanyak RM6.50 sekilogram.
Katanya, harga RM10 yang dicadangkan ini adalah adil kepada pengguna dan rakyat secara keseluruhannya.
“Namun semuanya bergantung kepada keputusan kerajaan. Bagi pihak industri, kami hanya memberi pilihan terbaik yang ada,” tambah sumber itu. – MalaysiaGazette