Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN

KUALA LUMPUR – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan menaja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Tunku Ismail berkata, penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil itu sebagai hadiah kepada gelanggang rasmi pasukan kebangsaan, Harimau Malaya.

“Saya telah membuat keputusan untuk menaja kos penanaman rumput baharu sebagai hadiah kepada Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Ianya adalah rumput jenis Zeon Zoysia, sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT.

“Saya telah mengarahkan pengurusan JDT untuk membantu Perbadanan Stadium Malaysia bagi memastikan Stadium Nasional tersebut mempunyai padang yang kualitinya layak untuk perlawanan bola sepak antarabangsa,” ujarnya dalam kenyataan di Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers

Pada masa sama, Tunku Ismail meminta pihak berkuasa stadium untuk memastikan padang itu dijaga dengan rapi dan semua penggunaan bukan sukan hanya dilakukan jikalau langkah-langkah yang sesuai telah dilakukan bagi memastikan padang tersebut tidak rosak.

Stadium Nasional bakal digunakan sebagai gelanggang bagi aksi kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memilih Malaysia sebagai salah satu daripada enam negara tuan rumah untuk kejohanan itu. – MalaysiaGazette