Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Jumlah kes baharu Covid- 19 mencatatkan sebanyak 30,787 kes semalam dengan 30,179 penularan tempatan dan 608 kes import dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 30,563 kes (99.27%) adalah kategori satu dan dua manakala 224 kes (0.73%) merupakan kategori 3, 4 dan 5.

Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti sehingga kini meningkat kepada 3,741,986 kes.

Beliau juga memaklumkan, terdapat empat lagi kluster baharu direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan 419 kluster masih aktif.

Bagi nilai kadar kebolehjangkitan (R-naught atau RO) Covid-19 di seluruh negara ketika ini adalah 1.04 dengan Sarawak mencatakan bacaan tertinggi iaitu 1.37 diikuti Kuala Lumpur (1.16) dan Terengganu (1.15).

Jadual 1: Penggunaan katil Covid-19 bagi ICU dan bukan ICU di hospital dan PKRC pada 10 Mac 2022

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham turut melaporkan terdapat tiga negeri merekodkan penggunaan katil di wad Unit rawatan Rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus.

Beliau berkata, penggunaan katil ICU paling tinggi dicatatkan di Kelantan iaitu 38 atau 79 peratus daripada 48 katil yang dikhaskan sudah diisi.

Diikuti Johor yang sudah menggunakan 68 peratus daripada 56 katil ICU, Putrajaya (67 peratus), Kuala Lumpur (62 peratus) manakala Selangor dan Pulau Pinang (57peratus).

Sementara itu, bagi katil bukan ICU, terdapat empat negeri merekodkan penggunaan katil melebihi 90 peratus iaitu di Selangor dan Putrajaya dengan 111 peratus, Kuala Lumpur (91 peratus) dan Terengganu (90 peratus).

Hanya satu negeri mencatatkan penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 melebihi 50 peratus iaitu Melaka dengan 60 peratus pengisian. – MalaysiaGazette