Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama Tetamu Kerhomat ketika mengadakan lawatan ke tapak sempena Majlis Pelancaran Hari Terbuka (GLC) 2022 di Pusat Konvesyen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 11 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan gaji minimum baharu pekerja tetap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kini sebanyak RM1,500 sebulan.

Perkara itu diumumkan oleh Perfana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Hari Terbuka GLC 2022 di sini hari ini.

Jelasnya, keputusan itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap cabaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Justeru beliau berharap  syarikat-syarikat korporat lain akan turut mengikuti langkah yang sama.

“Tahap pendapatan minimum ini wajar diamalkan oleh sektor swasta bagi membantu pekerja menangani cabaran kos sara hidup terutamanya bagi pekerja yang berpendapatan rendah,” katanya ketika menyampaikan ucapan.

Dalam masa yang sama Ismail Sabri berkata, GLC yang tersenarai perlu mencapai tahap penyertaan wanita sekurang-kurangnya 30 peratus sebagai ahli lembaga pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada tahun 2023.

Ujarnya, ini selaras dengan ketetapan kerajaan dalam Bajet 2022 bahawa  syarikat tersenarai diwajibkan melantik sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita sebelum 1 Jun 2023.

Selain itu kata Ismail Sabri, semua GLC dan GLIC turut disaran mempunyai matlamat jangka masa sederhana dan sasaran net zero carbon menjelang 2050 demi mencapai objektif negara dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Kerajaan berharap agar pengumuman dasar-dasar ini akan memberi manfaat dan kesejahteraan berterusan kepada Keluarga Malaysia, Insya-Allah,” tambah Ismail Sabri. – MalaysiaGazette