Muhammad Mikael kini menerima rawatan di NICU sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak.

GEORGE TOWN – Seorang ibu tunggal memohon sumbangan orang ramai untuk membantu membiayai kos rawatan anaknya yang disahkan menghidap tumbesaran paru-paru.

Muhammad Mikael Abdullah merupakan bayi pramatang yang dilahirkan pada Februari lalu itu dilaporkan termakan mekonium sendiri semasa dalam kandungan sekali gus terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak selama dua minggu dengan kos rawatan melebihi RM45,000.

Ibunya, Nurazani Ahmadon, 33, berkata, selepas tiga tahun nendirikan rumah tangga dia disahkan hamil namun ditimpa malang apabila suaminya meninggalkan dua beranak itu sebaik kelahiran Muhammad Mikael.

Nurazani buntu memikirkan kos perubatan bayi pramatangnya.

“Ketika hamil, saya mengalami kesukaran untuk membuang air kecil sebelum doktor mengesahkan mempunyai masalah batu karang di hempedu. Keadaan menjadi teruk pada Februari lalu sebelum saya mendapatkan rawatan di hospital menggunakan kad insurans pekerja.

“Bagaimanapun, ketika pemeriksaan doktor mendapati bahawa punca utama ketidakselesaan disebabkan saya bakal bersalin bayi pramatang dan dalam tempoh 20 minit di hospital saya sudah melahirkannya.

“Bayi yang dilahirkan mempunyai pelbagai masalah kesihatan dan perlu ditempatkan di NICU dengan bantuan inkubator dan rawatan rapi sekali gus menyebabkan saya tidak mampu menanggung kos perubatan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, pendapatannya RM2,250 sebagai jurujual di sebuah pasaraya tidak cukup untuk membiayai kos perubatan anaknya membuatkan dia meminta bantuan daripada One Hope Charity & Welfare.

Sementara itu, Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, mengikut laporan perubatan yang dibekal hospital mendapati Muhammad Mikael perlu menjalani rawatan selama dua minggu untuk menyelamatkan nyawanya.

Kata beliau, kos keseluruhan perubatan adalah RM50,000 dan ibu kepada bayi tersebut hanya mampu menampung RM5,000.

“Selepas membuat beberapa pengesahan pihak keluarga memberi kebenaran kepada One Hope Charity untuk mengumpul dana orang awam berjumlah RM45,000 sekali gus menguruskan urusan rawatan anaknya.

“Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun bank One Hope Charity & Welfare 3193433435 (Public Bank) atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi talian 016 419 2192, 019 232 2192 atau 04 539 9212 untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette