Penolong Pegawai Pengurus Logistik SPR bagi DUN Layang-Layang, Mohd Fadli Latiff

SIMPANG RENGGAM – Pusat pembuangan undi bagi N27 Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang di Dewan Muafakat Simpang Renggam hari ini agak sibuk dengan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.

Menurut jurucakapnya, Mohd Fadli Latiff yang merupakan Penolong Pegawai Pengurus Logistik SPR bagi DUN Layang-Layang, ketika ini persiapan sudah hampir selesai dengan kebanyakan pusat undi sudah memulakan tugasan sejak semalam.

“Kita sedang siapkan untuk apa yang akan berlaku pada esok hari, antaranya semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan bagi proses pengundian bagi memastikannya lengkap.

“Ini kemudian diagihkan kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi. Ini juga melibatkan sebanyak 47 ketua tempat mengundi, 11 penyelia dan polis pengiring setiap saluran.

“Proses ini akan selesai pada sebelah tengah hari selepas itu Ketua Tempat Mengundi atau KTM akan pergi meninjau saluran bagi persiapan akhir,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Untuk makluman sebanyak 1,021 pusat mengundi dan 4,638 saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian dengan seramai 49,290 petugas SPR mengendalikan proses pengundian yang juga melibatkan 2,539,606 pengundi mengundi di PRN Johor Ke-15 esok.

Mohd Fadli juga mengingatkan pengundi supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Antaranya wajib memakai pelitup muka, pensanitasi tangan, merekodkan keharian dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Mengikut SOP KKM pengundi yang bergejala akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau pegawai kesihatan,” ujarnya.

Turut difahamkan pengundi berstatus disyaki (PUI) dan individu dalam pemantauan (PUS) yang ingin mengundi perlu memohon kebenaran dari Pegawai Kesihatan Daerah (PKD), Pejabat Kesihatan Daerah yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi membolehkan keluar sementara ke pusat mengundi.

SPR sebelum ini juga telah mengeluarkan arahan semua calon bertanding tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini iaitu sehingga jam 11.59 minit malam dan selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.

Calon atau pihak lain juga tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain. -MalaysiaGazette