Idris Ahmad
Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Isu tular sotong ring yang didakwa sebagai dubur atau usus babi minggu lalu masih dalam siasatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, sampel makanan itu telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisa serta pengesahan.

Katanya, tiga pihak iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) Kedah, Selangor dan Perlis telah mengadakan perbincangan baru-baru ini.

“Hasil laporan mesyuarat tersebut memaklumkan siasatan masih sedang berjalan dan sampel makanan tersebut telah dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan analisa dan pengesahan.

“Pihak KPDNHEP dan JAIN yang berkaitan telah mengambil tindakan awal sebaik isu tersebut ditularkan dengan turun padang menjalankan siasatan serta mengambil sampel untuk dianalisa,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau menyatakan, JAKIM telah menghubungi badan pensijilan Halal di China iaitu Shandong Halal Certification Services (SHCS) bagi mendapatkan pengesahan berhubung sijil halal produk berkenaan.

Katanya, ​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada KPDNHEP bersama JAIN Selangor, Kedah dan Perlis yang tangkas menyiasat serta meneliti isu itu daripada segenap aspek.

“Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Jabatan Kimia Malaysia kerana telah memberikan keutamaan kepada sampel ini untuk dianalisa.

“​Hasil siasatan akan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa berkaitan setelah keputusan analisa makmal nanti.

“​Sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan oleh mana-mana pihak kepada peraturan yang telah ditetapkan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengambil tindakan tegas untuk menjaga kemaslahatan masyarakat,” katanya.

Idris berkata, jika terdapat sebarang keraguan terhadap produk-produk di pasaran, masyarakat boleh membuat aduan serta rujukan kepada JAKIM untuk penjelasan lanjut. – MalaysiaGazette