MELAKA – Seorang penghantar makanan Grabfood parah selepas motosikal ditunggangi merempuh sebelum terperosok di bawah sebuah trak tentera yang rosak di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), lewat malam tadi.

Mangsa, Muhammad Faiszudin Rasip, 24, mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sebelum kejadian terdapat trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhenti di bahu jalan kerana mengalami kerosakan dengan dikawal dua anggota ATM selain dipasangkan lampu isyarat kecemasan.

“Tiba-tiba mangsa yang datang dari arah Cheng menghala ke susur keluar Lebuh SPA telah melanggar trak tersebut dari arah belakang.

Muhammad Faiszudin Rasip

“Rempuhan mengakibatkan mangsa dan motosikalnya terperosok di bawah trak menyebabkan lelaki terbabit mengalami kecederaan parah,” katanya.

Tambahnya, dua anggota ATM terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette