Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk meneliti penggunaan tenaga melibatkan kira-kira 60,000 menara telekomunikasi di seluruh negara wajar diberi perhatian, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, penelitian itu penting memandangkan jumlah diesel yang diperlukan untuk mengoperasikan sesebuah menara telekomunikasi setiap bulan bukan dalam kuantiti yang kecil.

“Jadi, saya lihat ada beberapa cadangan yang wajar dipertimbangkan untuk kita teliti. Dalam negara kita mungkin ada dalam 60,000 menara di seluruh negara.

“Boleh bayangkan jumlah tenaga yang digunakan untuk memastikan 60,000 menara telekomunikasi ini terus aktif dan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (SFR2030) di sini hari ini.

Menurut Fahmi, sektor komunikasi dan multimedia negara bakal memacu agenda kelestarian alam sekitar dengan sasaran pengurusan 15 juta peranti elektronik secara mampan menjelang 2030, menerusi pelaksanaan LESTARI.

Melalui LESTARI, katanya, peranti yang masih berfungsi akan dibaik pulih, diguna semula, atau dinaik taraf.

Langkah itu bukan sahaja mengurangkan sisa elektronik (e-sisa) malah memperkukuh ekonomi kitaran dan menurunkan kos pemilikan peranti pintar agar teknologi lebih mudah diakses oleh golongan rentan dan berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, aspek kelestarian penggunaan tenaga perlu diberi perhatian bagi memastikan pembangunan sektor komunikasi dan teknologi negara dapat diteruskan pada kadar yang baik.

Katanya, kerajaan mahu menghimpunkan rakan strategik daripada pelbagai sektor bagi membincangkan kerangka kerjasama, termasuk kemungkinan menyediakan insentif untuk menggalakkan peralihan kepada penggunaan tenaga yang lebih mampan.

“Di sinilah kita kumpulkan pada hari ini rakan-rakan yang saya anggap sebagai rakan strategik daripada sektor yang berbeza, tetapi masing-masing mempunyai kesan dalam penggunaan tenaga.

“Kita harus fikirkan bersama bagaimana kita boleh susun atur kerangka dan wujudkan kerjasama dan mungkin insentif supaya mereka juga mula beralih,” ujarnya.

Beliau berkata, penggunaan tenaga yang signifikan turut melibatkan sektor pos, kurier, penyiaran dan telekomunikasi.

Justeru aspek kelestarian penggunaan tenaga dalam sektor berkenaan perlu ditangani secara bersama menerusi kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan dan pengawal selia serta pemain industri.

“Usaha ini bukan sahaja sesuatu yang baik dan wajar dipuji tetapi ia satu keperluan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here